Baru-baru ini, tular kes di Palermo Itali seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia akibat disyaki difteria.
Menurut laporan, ibu bapa kanak-kanak tersebut memilih untuk tidak memberi vaksin kepada anak mereka kerana percaya vaksin boleh menyebabkan autisme.
Lagi menyedihkan, sepupu kanak-kanak itu yang berusia empat tahun turut dijangkiti difteria dan mengalami simptom yang hampir sama.
Tapi bezanya, sepupu kanak-kanak itu telah menerima vaksin dan dia dimasukkan ke hospital tetapi dilaporkan tidak berada dalam keadaan serius.
Anak Meninggal Dunia Akibat Difteria di Palermo, Itali
Untuk pengetahuan, difteria bukan sekadar sakit tekak tetapi ia bakteria yang menghasilkan toksin yang merosakkan jantung, saraf dan organ lain.
Dalam kes yang terusk, pesakit boleh mengalami kegagalan pernafasan dan meninggal dunia.
Kita jarang mendengar tentang difteria hari ini dan ia bukan kerana penyakit itu sudah hilang tetapi kerana vaksin telah berjaya mengawalnya termasuk di Malaysia.
Dalam laporan Minggu Epidemiologi 12/2026, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan hanya dua kematian akibat difteria di Malaysia.
Berbalik kepada isu kanak-kanak yang meninggal dunia di Palermo, Italy baru-baru ini, mesti ada yang terfikir, betul ke vaksin boleh menyebabkan autisme seperti yang didakwa ibu bapa kanak-kanak itu?
Jawapannya, tidak. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan vaksin boleh menyebabkan autisme.
Hubungan antara vaksin dan autisme sebenarnya sudah dikaji sejak bertahun-tahun lalu, dan pelbagai kajian mendapati tiada kaitan antara vaksinasi dengan autisme termasuk vaksin MMR yang sering dikaitkan dengan dakwaan tersebut.
Malah, satu analisis yang melibatkan lebih 1.2 juta kanak-kanak turut mendapati tiada hubungan antara vaksinasi dengan autisme.
Kesan sampingan vaksin pula biasanya ringan dan sementara, seperti sakit atau bengkak di tempat suntikan, demam, mudah meragam dan mengantuk.
Jadi, dari mana datang dakwaan vaksin menyebabkan autisme?
Salah satu puncanya ialah satu kajian lama yang mendakwa terdapat kaitan antara vaksin MMR dengan autisme namun kajian itu sudah ditolak dan terbukti tidak benar.
Tapi, dakwaan itu sudah tersebar luas sehingga terus mempengaruhi persepsi orang ramai terhadap vaksin.
Kajian-kajian selepas itu berulang kali tidak menemui kaitan antara vaksin MMR dengan autisme, termasuk kajian berskala besar di Denmark yang melibatkan lebih lima juta tahun pemerhatian dan hasilnya vaksin MMR tidak meningkatkan risiko autisme.
Satu lagi perkara yang mungkin menyebabkan kekeliruan ialah usia kanak-kanak menerima vaksin dan usia tanda-tanda autisme mula dikesan.
Kebanyakan vaksinasi kanak-kanak diberikan ketika mereka masih kecil, sekitar tempoh yang sama ibu bapa mula menyedari perubahan perkembangan anak.
Disebabkan kedua-dua perkara ini berlaku pada fasa usia yang hampir sama, ada yang menganggap vaksin sebagai puncanya.
Namun, didiagnos autisme selepas anak menerima vaksin tidak bermaksud vaksin itu menjadi punca berlakunya autisme.
Setakat yang diketahui, autisme juga bukan berpunca daripada satu faktor sahaja. Kajian menunjukkan terdapat beberapa faktor termasuk faktor genetik, usia bapa dan keadaan tertentu keadaan tertentu sebelum atau sekitar waktu kelahiran.
Dalam erti kata lain, percaya vaksin boleh menyebabkan autisme sehingga tidak memberi vaksin kepada anak boleh membawa risiko yang lebih serius.
Seperti yang berlaku dalam kes di Palermo, difteria mungkin penyakit yang jarang kita dengar tapi tidak bermakna ia sudah hilang.
Sebab itu, sebelum membuat keputusan untuk menolak vaksin berdasarkan dakwaan yang tersebar di media sosial, penting untuk semak sumber dan mendapatkan maklumat daripada pihak kesihatan yang boleh dipercayai.

