Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cara Hilangkan Bau Masakan Dalam Rumah Selepas Menggoreng

Cara Hilangkan Bau MAsakan
Kredit: Serious Eats

Siapa je yang tak suka bau ayam goreng baru masak? Masa masak, satu rumah bau wangi, rasa macam tengah ada di kedai makan.

Masalahnya, dalam masa beberapa jam sahaja bau menyelerakan itu boleh bertukar jadi kurang menyenangkan.

Bau minyak melekat pada langsir, sofa, pakaian dan permukaan dapur sehingga rumah masih berbau walaupun makanan sudah lama habis.

Perkara ini berlaku kerana proses menggoreng menghasilkan titisan minyak yang sangat halus dan sebatian tertentu bila minya dipanaskan pada suhu tinggi.

Titisan ini berterbangan di udara sebelum melekat pada pelbagai permukaan dalam rumah.

Jadi, kalau tak mahu rumah berbau minyak setiap kali memasak makanan bergoreng, ada beberapa cara mudah yang boleh dicuba.

Kurangkan Bau Minyak Ketika Memasak

Sebenarnya, lebih mudah untuk kurangkan bau dari awal daripada cuba menghilangkannya selepas satu rumah sudah berbau minyak.

Gunakan periuk yang dalam.

Periuk dengan bahagian tepi yang tinggi boleh membantu mengurangkan percikan minyak dan mengehadkan titisan halus daripada berterbangan ke seluruh dapur.

Gunakan penapis percikan minyak.

Jaring penutup khas untuk menggoreng boleh membantu mengurangkan minyak daripada terpercik dan tersebar ke udara.

Jangan guna minyak yang sudah terlalu lama.

Minyak yang digunakan berkali-kali boleh menghasilkan bau yang lebih kuat apabila dipanaskan.

Kalau nak guna semula minyak, tapis dan simpan dengan baik, tapi elakkan guna minyak sama terlalu banyak kali.

Lap dapur selepas memasak.

Jangan tunggu minyak yang terpercik kering dan melekat pada dapur atau kaunter.

Lap permukaan dengan kain lembap dan sedikit sabun ketika masih suam supaya sisa minyak lebih mudah dibersihkan.

Cara Hilangkan Bau Masakan Dalam Rumah

1. Buka Tingkap Dan Hidupkan Pengudaraan

Ini mungkin cara paling mudah, tetapi antara yang paling berkesan. Buka tingkap dan pintu yang boleh membantu mengalirkan udara keluar dari dapur.

Kalau ada penyedut asap, hidupkan semasa memasak dan biarkan selama kira-kira 15 hingga 20 minit selepas selesai menggoreng.

Boleh juga letakkan kipas berhampiran tingkap dan halakan anginnya ke luar untuk membantu mengeluarkan udara yang berbau.

2. Didihkan Air Dengan Cuka

Kalau bau minyak masih kuat, cuba didihkan secawan cuka putih bersama secawan air selama kira-kira 15 minit.

Cuka boleh membantu meneutralkan sebahagian bahan yang menyebabkan bau, bukannya sekadar menutupnya dengan bau lain.

Rumah akan berbau cuka sekejap, tapi biasanya bau itu lebih cepat hilang berbanding bau minyak selepas menggoreng.

Tapi kalau tak tahan dengan bau cuka, masukkan kulit lemon, kayu manis atau bunga lawang ke dalam campuran itu.

3. Letak Soda Bikarbonat Atau Arang

Untuk bau yang masih tertinggal, boleh cuba letakkan beberapa mangkuk kecil berisi soda bikarbonat atau arang aktif di sekitar dapur.

Kaedah ini tidak akan terus menghilangkan bau dalam beberapa minit tapi kalau biarkan semalaman, bahan-bahan ini boleh membantu menyerap bau yang masih ada di dalam ruang rumah.

Cara ini juga sesuai jika bau makanan sudah merebak ke bilik atau ruang lain.

4. Jangan Bergantung Pada Lilin Dan Pewangi

Lilin wangi, penyembur pewangi dan bahan seperti kulit oren atau kayu manis memang boleh membuatkan rumah berbau lebih menyenangkan.

Tapi, kebanyakannya hanya menutup bau sekejap sahaja dan sebaik bau lilin wangi atau penyembur pewangi hilang, bau makanan bergoreng mungkin kembali semula.

Jadi, lebih baik fokus pada pengudaraan dan membersihkan sisa minyak daripada cuba menutup bau dengan bau lain.

5. Gunakan Penapis Udara

Kalau anda memang kerap menggoreng di rumah, penapis udara yang mempunyai penapis karbon aktif boleh membantu mengurangkan bau yang berlegar di udara.

Ia mungkin tidak banyak membantu ketika makanan sedang digoreng, tetapi boleh digunakan selepas memasak untuk mengurangkan bau yang masih tertinggal.

Tak Perlu Biarkan Rumah Berbau Minyak

Tak perlu tunggu seharian untuk bersihkan bau minyak di rumah. Seeloknya, buat langkah-langkah di atas sebaik sahaja selesai mengoreng.

Dengan beberapa langkah mudah ini, bolehlah makan ayam goreng rangup puas-puas tanpa perlu satu rumah berbau macam kedai makan.

Intipati
  • Bau minyak selepas menggoreng berpunca daripada titisan halus yang melekat pada permukaan rumah.
  • Pengudaraan, penyedut asap dan kipas berhampiran tingkap membantu mengeluarkan udara berbau.
  • Cuka, soda bikarbonat, arang aktif dan penapis udara boleh membantu mengurangkan bau tertinggal.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan