Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

FAM Ada ‘Pelan B’ Sekiranya Keadaan SNBJ Tidak Memuaskan
PETALING JAYA, 26 Feb (Bernama) — Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai ‘pelan B’ sekiranya kondisi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak memuaskan untuk digunakan sebagai venue bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, 26 Mac ini.
Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya akan mengadakan lawatan ke gelanggang keramat Harimau Malaya itu pada awal Mac ini sebelum memutuskan untuk menjadikan stadium itu sebagai pentas perlawanan atau memilih stadium lain.
Katanya, sekiranya keadaan SNBJ tidak sesuai untuk digunakan, perlawanan berkenaan akan dianjurkan sama ada di Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.
“Memang kita sudah maklumkan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), akan adakan lawatan sana, menjelang awal Mac. Venue lawan Oman, kalau Bukit Jalil tak bagus mungkin Stadium Johor Sultan Ibrahim.
“Saya tidak maklumkan lagi dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim lagi. Kalau tidak stadium di Terengganu. Kim Pan Gon mahu kualiti padang yang cantik,” katanya pada sidang media selepas Sesi Town Hall Bola Sepak Wanita FAM di sini, hari ini.
SNBJ yang dijadikan venue bagi konsert Ed Sheeran, Sabtu lepas, telah mengundang kerisauan orang ramai apabila sebelum ini permukaan padang pernah rosak selepas persembahan kumpulan muzik ternama dari British, Coldplay, pada 22 Nov tahun lepas, sehingga mengganggu perjalanan final saingan Piala Malaysia 2023.
Bagaimanapun, PSM menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan telah mengambil langkah proaktif dengan menggunakan khidmat tenaga pakar Labosport dalam mempersiapkan padang stadium tersebut berkenaan bagi perlawanan penting itu.
Menurut PSM, pihaknya telah memindahkan rumput seluas 1,900 meter persegi di padang itu bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema “World Tour” Ed Sheeran.
Sementara itu, Hamidin berkata Ketua Jurulatih pasukan senior kebangsaan Pan Gon bakal mengumumkan senarai pemain bagi skuad Harimau Malaya bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada Mac.
“Pasukan senior, kita akan keluarkan senarai untuk pemain-pemain, KPG (Kim Pan Gon) sedang muktamadkan dan persediaan untuk kita di Oman pada 21 Mac nanti dia akan maklumkan, tengah di peringkat terakhir, tunggu pengunuman.
“Kita Liga Malaysia sudah bermula bulan Mei jadi ini ada kekangan untuk panggil pasukan kebangsaan, dan pasukan ada yang cuti dan ada yang mula untuk latihan,” katanya.
Malaysia mempunyai misi penting untuk layak ke Piala Dunia 2026 selepas mendahului Kumpulan D dengan enam mata daripada dua kemenangan menentang Krgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0).
Harimau Malaya dijadual akan menentang Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum menjadi tuan rumah di Bukit Jalil pada 26 Mac.
Sumber: BERNAMA