Siakap Keli
objek besi kereta polis
Gambar: Sinar Harian

Empat Lelaki, Disyaki Suspek Lempar Objek Besi Sebabkan Kereta Polis Kemalangan Diberkas

Empat Lelaki, Disyaki Suspek Lempar Objek Besi Sebabkan Kereta Polis Kemalangan Diberkas

Empat lelaki disyaki suspek yang terlibat dalam kejadian kejar hingga menyebabkan kereta peronda polis kemalangan sudah ditahan.

Dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 215 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Taiping minggu lalu, dua anggota polis turut mengalami kecederaan.

Memetik laporan Sinar Harian, suspek berusia 38 hingga 42 tahun yang merupakan warga tempatan ditahan di Padang Serai, Sungai Petani di Kedah pada Isnin.

Suspek ditahan menerusi operasi yang dijalankan oleh Cawangan Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Suspek lempar objek besi sebabkan kereta polis kemalangan sudah ditahan

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam kejadian berkenaan, suspek bertindak meninggalkan kenderaan jenis Toyota Hilux sebelum melarikan diri.

“Lanjutan daripada siasatan dijalankan, semua suspek berjaya ditahan. Hasil soal siasat, mereka mengakui terlibat dalam kes itu.

“Saringan awal air kencing mendapati, empat suspek itu positif dadah jenis metahamphetamine. Mereka telah direman selama empat hari sehingga 1 Mac ini bagi melengkapkan siasatan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas tentang kejadian 19 Februari itu, Mohd Yusri berkata polis menerima maklumat bahawa semua suspek terlibat dalam kejadian jenayah mencuri kabel di kawasan Taman Ipoh Jaya.

Polis kemudian cuba menahan kenderaan yang dinaiki suspek namun usaha itu tidak berjaya.

“Hebahan bantuan telah dilakukan dan beberapa kereta peronda polis ditugaskan untuk mengejar kenderaan suspek hingga lebuh raya utara selatan.

“Kenderaan suspek berjaya ditemui, tetapi suspek telah melarikan diri,” katanya lagi.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kabel.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan sebaik selesai akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” kata Mohd Yusri.

Terdahulu, kejadian kemalangan melibatkan kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic 1.8 (SPANCO) itu turut menjadi tular di media sosial.

Dalam kejadian berkenaan, dua anggota polis cedera selepas kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum berpusing serta melanggar tembok penghadang jalan.

Kejadian kemalangan itu dilapor berpunca akibat melanggar satu objek besi yang dilemparkan oleh suspek.

Sebelum kejadian, polis mengejar suspek sejauh lebih 50 kilometer dari Plaza Tol Ipoh Utara hingga melepasi ke Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.

BACA: Lelaki, Wanita Ditemui Maut Dalam Kereta Berkunci Di Parkir Stesen Minyak

Sumber: Sinar Harian

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.