Kisah Peminat Dragon Ball Berjaya Namakan Anak ‘Goku’, Kalau Dapat Sejuta “Likes” Di FB
Menimang cahaya mata merupakan antara detik yang paling dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Apatah lagi bagi pasangan yang sudah sekian lama menanti kehadiran zuriat, penyeri hidup berumah tangga.
Sebagai ibu bapa, anak tersebut akan ditatang bagai menatang minyak yang penuh. Perhatian akan diberikan setiap masa.
Dalam pada itu, proses menamakan anak juga merupakan antara detik-detik penting yang tidak mahu dilupakan ibu bapa. Biasanya, nama anak sudah pun ada sejak zuriat masih dalam kandungan lagi, kan?
Nama-nama yang dipilih pula sudah tentu sedap sebutannya, enak didengar di telinga dan mempunyai makna yang indah.
Ayah, peminat Dragon Ball berjaya namakan anak Goku
Namun lain pula kisah seorang ayah ini, yang berhajat menamakan anaknya dengan nama yang unik. Kisah ini berlaku kira-kira enam tahun lepas dan dilapor meluas oleh media, termasuk media-media terkenal dunia.
Carloz Sanchez yang berasal dari Arizona, Amerika Syarikat merupakan seorang peminat tegar siri anime, Dragon Ball.
Apabila mendapat tahu dia bakal menjadi ayah, Carloz merasa sangat teruja dan berhasrat mahu menamakan anaknya dengan nama watak utama anime itu, Goku.
Ternyata, idea berkenaan tidak ditolak mentah-mentah oleh isterinya. Namun sebelum Carloz dapat merealisasikan impian tersebut, dia perlu terlebih dahulu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pasangannya.
Syarat itu kemudian dikongsikan oleh Carloz menerusi laman Facebok peribadinya.
“Isteri saya kata, kalau saya berjaya mendapat 1 juta likes, saya dibenar menamakan anak lelaki kami dengan nama Goku,” katanya dalam hantaran itu.
Tanpa disangka-sangka, hantaran tersebut pantas menjadi tular di Facebook dan mendawat perhatian warga maya di seluruh dunia.
Malah, hantaran tersebut berjaya mendapat lebih satu juta likes kurang daripada 24 jam.
Perkara itu sudah tentu menggembirakan Carloz kerana syarat itu berjaya dipenuhi dalam masa yang singkat. Selepas itu, semuanya terserah kepada si isteri pula untuk menunaikan janjinya.
Ternyata, isteri Carloz berpegang kepada janji tersebut dan mengizinkan Carloz menamakan anak mereka dengan nama Goku.
Carloz kemudian tidak melepaskan peluang memuat naik satu video, berkongsi kegembiraan dan ‘meraikan’ kemenangan tersebut.
Dalam video berkenaan, isterinya dilihat memegang plakad yang bertulis,,“Saya berpegang dengan janji saya. Nama anak lelaki kami ialah Goku Sanchez”.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook mengucapkan tahniah, malah ada yang terhibur dengan perjanjian mereka.
Begitulah kisahnya.
https://www.facebook.com/1427984497/videos/10215985403334418/?ref=embed_video&t=0
BACA: Rumah Bahang ‘Menyengat’? Ikut Tip Ni Sejukkan Kediaman Tanpa Aircond
Sumber: The Jakarta Post