Siakap Keli
dividen kwsp 2023
Gambar: Bernama

KWSP Umum Dividen 5.50 Peratus Bagi Tahun 2023

KWSP Umum Dividen 5.50 Peratus Bagi Tahun 2023

KUALA LUMPUR — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM50.33 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Syariah dengan jumlah agihan RM7.48 billion pada tahun 2023.

Menurut KWSP dalam satu hantaran di Facebook, jumlah keseluruhan agihan pendapatan untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM57.81 bilion.

Sementara itu, dalam laporan BERNAMA, pembayaran dividen itu menandakan peningkatan yang ketara dari 2022, yang mana kadar dividen berada pada 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Syariah.

“Agihan dividen sebanyak RM57.81 bilion itu akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan informal,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Hingga 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.

“Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen

“Adalah menjadi amalan berhemat KWSP membayar dividen hanya daripada pendapatan yang direalisasikannya,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, KWSP menyatakan aset pelaburan dana simpanan persaraan itu terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1.135 trilion pada 2023, naik 13 peratus berbanding RM1.0 trilion pada Tahun Kewangan 2022.

“Peningkatan ini merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15 peratus berbanding RM84.74 bilion pada 2022,” katanya.

BACA: Kos Tak Sampai RM600, Lelaki Kongsi Cara Naik Kereta Api Pergi China Dari Perlis

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi simpanan konvensional ialah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk simpanan Syariah pada asas tahun (2021-2023), melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya 2 peratus dividen sebenar dalam tempoh yang sama.

Tambahnya, walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi luar jangkaan.

“Alhamdulillah, KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada tahun 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan,” katanya.

Sumber: KWSP, BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?