Siakap Keli
30 hari 30 resipi khairul aming
Kredit: @khairulaming/X

30 Hari 30 Resipi Bersama Khairul Aming Kembali Lagi Untuk Tahun Ke-7

30 Hari 30 Resipi Bersama Khairul Aming Kembali Lagi Untuk Tahun Ke-7

Kurang daripada enam hari lagi, rakyat di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam akan menyambut bulan Ramadan.

Pada bulan tersebut, umat Islam akan menjalani ibadah puasa selama 30 hari, menunaikan salah satu rukun Islam sebelum menyambutnya ketibaan bulan Syawal.

Apabila bercakap tentang Ramadan, sudah semestinya nama Khairul Aming akan disebut-sebut susulan resipi yang dikongsi mudah untuk disediakan selain juadahnya sangat menarik.

Hari ini, Khairul Aming yang terkenal dengan slogan ‘hey wassup guys‘ mengumumkan 30 hari 30 resipi akan kembali pada Ramadan kali ini untuk tahun yang ketujuh bagi tahun 2024.

“Seminggu lagi Ramadan akan tiba dan 30 Hari 30 Resipi akan kembali untuk tahun ke-tujuh.

“Selamat berpuasa, selamat beribadat, dan selamat memasak. Jumpa nanti,” katanya di platform X pada Selasa.

Menerusi video teaser yang dimuat naik di platform X, Khairul Aming mempamerkan resipi viral miliknya pada tahun lepas iaitu agar-agar buah.

BACA: Khairul Aming Lancar Produk Kedua Selepas Sambal Nyet 2 Februari Ini

Tidak dinafikan resipi tersebut telah menjadi bualan hangat selepas orang ramai menunjukkan video mereka gagal dalam membuat agar-agar buah itu.

Sementara itu, selebriti Internet itu juga menunjukkan video dirinya bersama rakan-rakannya melakukan persediaan dalam menyambut bulan Ramadan.

“Kepada sesiapa yang gagal untuk buat agar-agar buah puasa tahun lepas, saya Khairul Aming ingin menyusun sepuluh jari diharapkan bulan puasa ini tidak berulang lagi.

“Diharapkan video memasak ini sedikit sebanyak boleh membantu kamu semua sediakan juadah berbuka dengan keluarga nanti,” katanya.

Sumber: @khairulaming/X

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini