Siakap Keli
simpanan shariah penyucian dividen
Kredit: Bernama

Baru Bertukar Ke Simpanan Shariah, Perlu Ke Buat Penyucian Dividen?

Baru Bertukar Ke Simpanan Shariah, Perlu Ke Buat Penyucian Dividen?

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mengumumkan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk 2023 baru-baru ini.

Pada masa yang sama, ketika inilah anda baru terdetik untuk bertukar kepada akaun simpanan shariah setelah bertahun-tahun menggunakan akaun simpanan konvensional.

Perkara ini selari dengan saranan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menyeru umat Islam untuk segera menukar akaun sedia ada kepada akaun simpanan shariah.

Oleh sebab ini, anda berkemungkinan tertanya-tanya, begaimana cara untuk menyucikan dividen KWSP yang disimpan dalam simpanan konvensional sebelum ini.

Sebelum itu, anda perlu memastikan bilakah masa anda menukar akaun simpanan konvensional KWSP kepada akaun simpanan shariah.

Bagi dividen simpanan konvensional untuk tahun 2016 dan sebelumnya, anda tidak perlu melakukan penyucian dividen kerana simpanan shariah masih belum diwujudkan ketika itu.

BACA: “Kenapa Hanya 2%?” Ini Kaedah Kiraan Potongan Bulanan & Cara Mohon i-Sayang KWSP Untuk Isteri

“Ahli beragama Islam dan KWSP dikecualikan daripada melakukan penyucian dividen sebelum wujudnya Simpanan Shariah,” jelas KWSP menerusi hantarannya di X.

Oleh itu, tempoh penyucian ditentukan daripada 2017 sehingga setahun sebelum tarikh penukaran kepada akaun shariah.

Penentuan tarikh kuat kuasa bagi akaun simpanan shariah pula berada di luar bidang kuasa ahli.

Bagi memudahkan pemahaman, KWSP telah memberikan satu contoh: Ahmad telah mendaftar Simpanan Shariah pada 5 Julai 2023 dengan tarikh kuat kuasa bermula 1 Januari 2024.

Melalui maklumat ini, Ahmad tidak perlu menyucikan bayaran dividen selepas dirinya sudah beralih pada akaun simpanan shariah pada tarikh tersebut.

Tetapi, Ahmad bertanggungjawab menyucikan dividen yang diterima bermula tahun 2017-2022.

Bagi amaun penyucian dividen untuk 2023, 66 peratus daripada Dividen Simpanan Konvensional perlu disucikan buat ahli KWSP beragama Islam yang masih belum membuat pertukaran ke Simpanan Shariah.

Sebagai contoh, jika anda memperoleh jumlah dividen Simpanan Konvensional 2023 sebanyak RM1,000, anda perlu menyucikan sebanyak 66 peratus.

Dengan ini, anda perlu menyucikan kira-kira RM660 daripada jumlah dividen simpanan yang diperoleh pada tahun 2023 (RM1,000 x 66% = RM660).

“Keputusan untuk melakukan penyucian dividen bergantung kepada ahli. Ahli juga boleh mendapatkan pandangan daripada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing,” kata KWSP.

Bagi mengelakkan anda semakin was-was dengan hasil caruman yang bakal dikeluarkan sewaktu bersara, segeralah bertukar kepada akaun simpanan shariah secepat mungkin.

Sucikan dividen akaun simpanan konvensional KWSP dengan tiga cara ini

Bagi memastikan simpanan wang anda bersifat patuh shariah, KWSP telah memberikan tiga cara untuk menyucikan wang dividen yang diperoleh sebelum ini.

Pertama, anda boleh menyucikan simpanan dividen dengan membantu pihak yang dilanda kesusahan secara langsung.

Anda boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja, khususnya ahli keluarga terdekat yang tidak berkemampuan selain daripada ibu bapa, isteri dan anak-anak yang tersenarai sebagai tanggungan wajib anda.

Kedua, dividen yang tidak patuh syariah boleh disalurkan sebagai kegunaan kos pembinaan atau penyediaan kemudahan awam. Bayaran boleh dibuat melalui Baitulmal di Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

Selain itu, anda juga boleh menyalurkan wang berkenaan kepada mana-mana persatuan atau pertubuhan yang berdaftar sebagai badan kebajikan.

Akhir sekali, anda juga boleh menyucikan dividen Simpanan Konvensional dengan mengagihkan kepada aktiviti-aktiviti kebajikan.

Antaranya seperti bantuan fakir miskin, bencana alam, kos perubatan dan penjagaan kesihatan atau kos pendidikan.

Jadi, anda boleh menghilangkan rasa was-was ketika ingin menggunakan wang simpanan KWSP anda sewaktu bersara nanti.

Terdahulu, KWSP telah mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM50.33 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Syariah dengan jumlah agihan RM7.48 billion pada tahun 2023.

Manakala jumlah keseluruhan agihan pendapatan untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM57.81 bilion, lapor KWSP menerusi hantaran Facebook semalam.

BACA: KWSP Umum Dividen 5.50 Peratus Bagi Tahun 2023

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) via Facebook & X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma