Siakap Keli
Permohonan Skim Jaminan Kredit
Kredit: Bernama

Pembiayaan Sehingga RM500,000, Ini Cara Mohon Skim Jaminan Kredit Perumahan

Pembiayaan Sehingga RM500,000, Ini Cara Mohon Skim Jaminan Kredit Perumahan

Setiap orang mempunyai impian untuk memiliki rumah pertama, sebaik-baiknya sejak usia muda lagi. Namun, harapan dan impian itu selalu dipangkas oleh harga rumah yang tinggi dan tahap pendapatan yang rendah.

Oleh kerana itu, impian kekal menjadi impian untuk satu tempoh yang lama sementara terpaksa menyaksikan kos untuk memiliki kediaman sendiri meningkat daripada semasa ke semasa.

Itu cerita mereka yang berpendapatan tetap, situasi yang perlu ditempuhi mereka yang berkerja sendiri atau pekerjaan yang tidak memiliki slip gaji sebenarnya jauh lebih sukar.

Mujurlah, kerajaan memperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk membantu golongan ini untuk memiliki rumah pertama sendiri.

Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) membantu membeli rumah pertama 

Tujuan SJKP diperkenalkan adalah untuk membiaya warganegara Malaysia yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membeli rumah pertama.

Mana-mana individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan slip gaji seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil layak mendapatkan kemudahan gadai janji ini.

Walaupun SJKP diperkenalkan untuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, namun anda perlu menepati beberapa syarat sebelum layak memohon.

Had pembiayaan yang diberikan hanya RM500,000.00. Ianya termasuk jumlah pembiayaan pokok, MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance), MRTT (Mortgage Reducing Term Takaful), LTHO (Long Term House owner’s Takaful ), yuran guaman serta yuran penilaian.

Skim ini membenarkan pinjaman 2 generasi

Menurut laman sesawang SJKP, jenis pembiayaan pula hanya sah untuk pembiayaan bertempoh sahaja.

Manakala untuk tempoh pembiayaan, SJKP memberi tempoh sehingga 35 tahun atau sehingga tamat tempoh pembiayaan, malah pinjaman 2 generasi turut dibenarkan.

Seterusnya, jaminan 100% diatas jumlah pembiayaan (termasuk jumlah pembiayaan pokok, MRTA*/MRTT*/LTHO*, yuran guaman dan yuran penilaian).

Selain itu, kadar faedah pinjaman seperti ditentukan bank terlibat berdasarkan kadar asas standard dan kadar pinjaman.

Paling penting, pemohon perlu menyediakan deposit bersamaan 3 bulan bayaran awal untuk memohon rumah.

Syarat-syarat dan kelayakkan untuk memohon SJKP

Pertama, pemohon mestilah warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, pinjaman 2 generasi dibenarkan pembeli rumah pertama.

Kedua, permohonan adalah bagi pembelian rumah pertama rumah kediaman baru atau rumah sedia ada atau rumah lelongan yang di bawah kategori kos rendah atau sederhana atau mampu milik dan untuk didiami.

Ketiga, permohonan juga terbuka untuk rumah kediaman baru atau rumah sedia ada atau rumah lelongan.

Keempat, amaun jumlah bayaran balik kesemua pinjaman pemohon tidak melebihi 65% pendapatan kasar bulanan.

Kelima, tiada rekod tertunggak CCRIS melebihi 2 bulan bagi tempoh 12 bulan terkini  dan tiada lain-lain rekod kredit yang negatif dalam tempoh 24 bulan.

Keenam, pendapatan pemohon mestilah tidak melebihi RM11,000 dan mampu membayar ansuran bulanan dengan had pembiayaan sehingga RM500,000.

Berikut merupakan Proses Skim Jaminan

Menurut SJKP, permohonan mestilah dibuat secara terus dimana-mana institut kewangan (IKP) yang turut serta dalam skim ini, dan bukannya dibuat di pejabat SJKP.

Manakala proses-proses yang berjalan adalah seperti berikut:

Mula-mula, bakal peminjam mengenal pasti kediaman yang dikehendaki. Selepas itu, memohon dan menyerahkan dokumen yang berkaitan kepada IKP yang terlibat.

Seterusnya, IKP terlibat akan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peminjam yang layak.

Selepas itu, Bank menilai dan menyemak permohonan peminjam dan menghantar permohonan kepada SJKP bagi jaminan pembiayaan.

Kemudian, SJKP akan menyemak permohonan dan menyediakan jaminan pembiayaan (jika memenuhi kriteria yang ditetapkan).

Selanjutnya, Institusi Kewangan mengemukakan surat tawaran (LO) kepada pelanggan setelah berjaya mendapatkan jaminan daripada SJKP.

Akhirnya, peminjam akan menerima LO dan memiliki rumah idaman mereka selepas Institusi Kewangan mengeluarkan pembiayaan.

Dokumen yang diperlukan untuk memohon

1. Perjanjian asal Jual Beli/borang tempahan/resit bayaran muka.

2. Penyata akaun bank atau deposit 6 bulan terkini (jika ada).

3. Cukai Pendapatan/Penyata KWSP terkini.

4. Surat pengesahan pekerjaan.

5. Salinan Kad Pengenalan pemohon.

6. Surat pengesahan majikan (jika ada).

7. Lesen perniagaan atau kad pendaftaran Nelayan atau permit teksi (yang mana berkenaan).

Selain itu, pemohon juga perlu menyediakan Surat Akuan Bekerja Sendiri atau penyata pendapatan yang disahkan oleh JKKK atau penjawat awam Kategori A, Penghulu/Ketua Kampung atau Pengurus Cawangan Bank.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh merujuk menerusi pautan Soalan Lazim Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Semoga bermanfaat.

BACA: Program Rebat Bil Elektrik RM40 Dilanjutkan, Ini Cara Nak Semak Kelayakan

Sumber: Skim Jaminan Kredit Perumahan

Athirah

When nothing goes right, go left.