Siakap Keli
tayar pesawat tercabut
Gambar: BNO News

Tayar Pesawat Tercabut Ketika Berlepas, Jatuh & Rosakkan Kenderaan

Tayar Pesawat Tercabut Ketika Berlepas, Jatuh & Rosakkan Kenderaan

Tayar daripada gear pendaratan sebuah pesawat milik United Airlines dilapor tercabut dan terjatuh di sebuah kawasan pakir hingga merosakkan beberapa buah kenderaan, lapor NBC News.

Kejadian berlaku ketika pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang San Francisco, Amerika Syarikat menuju ke Osaka, Jepun pada pagi Khamis (kira-kira 11.35 pagi waktu tempatan).

Bagaimanapun, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada kru penerbangan, penumpang serta kepada mana-mana individu di lokasi tayar pesawat itu jatuh.

Ketika kejadian, pesawat itu membawa 235 penumpang, 10 kru kabin dan empat orang juruterbang.

Pesawat berkenaan kemudian mengubah haluan dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Los Angeles (LAX). Jurucakap United Airlines berkata, pihaknya sedang menguruskan pesawat baharu untuk penumpang penerbangan berkenaan.

Tayar pesawat tercabut, terjatuh dan kena kenderaan di pakir

Menurut United Airlines lagi, pesawat jenis Boeing 777 itu mempunyai enam set tayar pada setiap dua gear pendaratan utamanya. Pesawat berkenaan turut direka untuk berupaya mendarat dalam keadaan tayar rosak atau kehilangan tayar.

Dalam pada itu, pakar aviasi berkata kejadian pesawat tercabut tayar adalah situasi yang jarang berlaku dan bernasib baik kerana tiada sebarang insiden kecederaan dilaporkan.

Mereka juga berpendapat, apa yang berlaku melibatkan isu penyelenggaraan dan bukannya masalah yang berpunca daripada pihak pembuat pesawat.

Justeru mereka menjangkakan ia tidak akan memberika kesan ketara kepada Boeing.

“Situasinya sama seperti anda membeli sebuah kenderaan. Selepas tiga tahun tayar kenderaan itu tercabut. Jadi, apa yang perlu anda lihat adalah sejarah selenggaraan dan siapa yang menyelenggara kenderaan itu?

“Disini, fokus patut diberikan kepada jadual penyelenggaraan pesawat United Airlines dan lihat apa yang berlaku. Sekiranya petunjuk terarah kepada masalah struktural, maka Boeing akan terlibat kerana mereka adalah pembuat pesawat itu,” kata Mike McCarron.

Menurut NBC News, pesawat yang terlibat dalam kejadian itu diserahkan oleh Boeing kepada United Airlines 22 tahun lepas.

Penyiasat dari Federal Aviation Administration (FAA) dan National Transportation Safety Board (NTSB) juga akan memeriksa pesawat berkenaan dan tayar yang tercabut untuk mencari punca kejadian.

BACA: Pakai Duit Sendiri Ke? Ini Cara Kira & Nak Buat Penyucian Dividen KWSP

Sumber: NBC News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.