Siakap Keli
kisah julaibib
Gambar: PATRICK HERTZOG/AFP

Kisah Julaibib, Sahabat Yang Diangkat Martabatnya Oleh Nabi SAW

Kisah Julaibib, Sahabat Yang Diangkat Martabatnya Oleh Nabi SAW

Penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW sangat dikenali dengan kisah perjuangannya sewaktu menyebarkan dakwah sepanjang hayat.

Perjalanan baginda juga telah diiringi dengan sahabat-sahabat yang luar biasa, yang turut berjuang dalam menegakkan syiar Islam.

Antara sahabat Rasulullah SAW yang sering disebut-sebut adalah seperti Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar al-Khattab dan lain-lain lagi.

Dalam kalangan nama-nama ini, Julaibib merupakan nama yang agak kedengaran asing kerana kisahnya jarang didedahkan kepada khalayak.

Namun begitu, kisahnya tidak kurang hebat jika dibandingkan dengan sahabat-sahabat baginda yang lain.

Justeru, mari kita telusuri kisahnya yang dikongsikan oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman web Maktabah Al-Bakri.

Kisah Julaibib

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Julaibib merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW daripada kaum Ansar dan berasal dari Kota Madinah.

Beliau tidak memiliki nama keluarga di belakangnya kerana salasilah keluarganya tidak diketahui. Nama Julaibib berasal dari perkataan Bahasa Arab Jalbab, yang bermaksud kerdil, menunjukkan keadaan fizikalnya yang rendah. Diriwayatkan juga bahawa Julaibib memiliki paras rupa yang kurang menarik serta berpakaian usang dan lusuh.

Sifat fizikal Julaibib yang rendah, paras rupanya yang kurang menarik dan keadaannya yang fakir menyebabkan masyarakat Madinah kurang senang dengan keberadaan beliau.

Tambahan pula, tidak memiliki nasab dan tidak mengetahui salasilah keluarga merupakan satu aib bagi masyarakat Madinah. Oleh sebab itu, tiada kabilah yang ingin menerimanya dan beliau sering disisihkan oleh masyarakat.

Disebabkan oleh keadaan Julaibib yang serba kekurangan, Abu Barzah, pemimpin Bani Aslam berkata kepada isterinya, “Jangan pernah biarkan Julaibib masuk di antara kamu! Demi Allah, jika dia berani berbuat demikian, aku akan melakukan hal yang mengerikan padanya!” Begitulah keadaan beliau, tersisih dari masyarakat tanpa keluarga dan teman di sisi.

Keadaan Julaibib yang serba kekurangan tidak menghalang hidayah Islam untuk sampai kepadanya.

Selepas beliau memeluk Islam, beliau terus mendampingi Rasulullah SAW secara konsisten untuk mengambil ilmu, petunjuk dan akhlak baginda sebagai bekalan di dunia dan akhirat. Beliau sangat mencintai Rasulullah SAW dan tidak pernah lalai dalam melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan oleh baginda.

Pada suatu hari, Julaibib ditegur oleh Rasulullah SAW dan baginda bertanya apakah dia ingin menikah. Perkara ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Anas bin Malik berkata, “Ada seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Julaibib, seorang yang buruk rupa, lalu Rasulullah SAW menawarkan pernikahan untuknya. Julaibib berkata, “Jika begitu, engkau mendapatiku sebagai orang yang rugi” (bermaksud tidak ada yang akan mahu menikahkan anak perempuannya kepadaku). Lalu baginda SAW menjawab, “Tetapi sesungguhnya kamu di sisi Allah bukan orang yang rugi”. (Hadith Riwayat Abu Ya’la)

Maka, Rasulullah SAW pergi menemui salah seorang dari kaum Ansar untuk menikahkan anak perempuannya kepada Julaibib.

Lalu, orang tersebut meminta Rasulullah SAW untuk menunggu kerana dia ingin berbincang dengan isterinya tentang lamaran tersebut.

Setelah berbincang, si isteri menolak lamaran tersebut kerana tidak menyukai Julaibib. Ketika si suami berdiri untuk bertemu semula dengan Rasulullah SAW, anak perempuan mereka bertanya siapa yang datang untuk meminangnya.

Lalu keduanya menjawab, “Rasulullah SAW”. Maka anak perempuan mereka berkata, “Apakah kamu menolak perintah Rasulullah? Bawalah aku kepada Rasulullah SAW kerana baginda tidak akan mensia-siakan diriku”.

Dalam riwayat lain, anak perempuan mereka membaca firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat pada hukum Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

(Surah al-Ahzab: 36)

Lalu, si suami, yakni ayah kepada wanita tersebut pergi menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Ini urusanmu dengannya. Nikahkanlah dia dengan Julaibib”.

Maka, Rasulullah SAW menikahkan wanita tersebut kepada Julaibib dan mendoakannya dengan doa, “Ya Allah, tuangkan kepadanya kebaikan yang banyak dan janganlah engkau jadikan kehidupannya susah”.

Akhirnya, wanita tersebut menjadi orang Ansar yang paling banyak harta dan infaknya.

Setelah malam pernikahan Julaibib berlangsung, terdapat seruan jihad untuk keluar berperang bersama Rasulullah SAW.

Beliau segera meninggalkan isterinya untuk memenuhi seruan jihad tersebut. Dalam peperangan tersebut, Julaibib wafat sebagai pejuang yang syahid, di samping tujuh jenazah musuh yang berjaya dibunuh olehnya.

Keutamaan Julaibib diceritakan di dalam sebuah Hadith Muslim. Hadith tersebut menceritakan tentang kisah kewafatan sahabat ini dan bagaimana martabatnya diangkat oleh Rasulullah SAW. Hadith tersebut berbunyi:

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي مَغْزًى لَهُ فَأَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَقَالَ لِأَصْحَابِهِ هَلْ تَفْقِدُونَ مِنْ أَحَدٍ قَالُوا نَعَمْ فُلَانًا وَفُلَانًا وَفُلَانًا ثُمَّ قَالَ هَلْ تَفْقِدُونَ مِنْ أَحَدٍ قَالُوا نَعَمْ فُلَانًا وَفُلَانًا وَفُلَانًا ثُمَّ قَالَ هَلْ تَفْقِدُونَ مِنْ أَحَدٍ قَالُوا لَا قَالَ لَكِنِّي أَفْقِدُ جُلَيْبِيبًا فَاطْلُبُوهُ فَطُلِبَ فِي الْقَتْلَى فَوَجَدُوهُ إِلَى جَنْبِ سَبْعَةٍ قَدْ قَتَلَهُمْ ثُمَّ قَتَلُوهُ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ قَتَلَ سَبْعَةً ثُمَّ قَتَلُوهُ هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ قَالَ فَوَضَعَهُ عَلَى سَاعِدَيْهِ لَيْسَ لَهُ إِلَّا سَاعِدَا النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَحُفِرَ لَهُ وَوُضِعَ فِي قَبْرِهِ وَلَمْ يَذْكُرْ غَسْلاً

Maksudnya: Abu Barzah menceritakan bahawa Rasulullah SAW berada di medan perang dan memperoleh banyak harta ghanimah. Selepas tamat peperangan, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, “Apakah kalian kehilangan seseorang?” Mereka menjawab, “Ya, si fulan, si fulan dan si fulan”. Rasulullah SAW bertanya lagi, “Apakah kalian kehilangan seseorang?” Mereka menjawab, “Ya, si fulan, si fulan dan si fulan”. Sekali lagi Rasulullah SAW bertanya, “Apakah kalian kehilangan seseorang?” Mereka menjawab “Tidak”. Baginda kemudian bersabda, “Akan tetapi aku kehilangan Julaibib. Carilah dia di tengah korban yang terbunuh!”

Para sahabat mencari Julaibib dan menemukannya di samping tujuh jenazah musuh yang telah dibunuh olehnya sehingga beliau mati syahid.

Rasulullah SAW berdiri di samping jasad Julaibib dan bersabda, “Dia membunuh tujuh orang kemudian mereka membunuhnya. Orang ini adalah sebahagian dariku dan aku sebahagian darinya. Orang ini adalah sebahagian dariku dan aku sebahagian darinya.”

Kemudian Rasulullah SAW meletakkan jasad Julaibib di atas kedua lengannya, maka dia tidak memiliki alas selain kedua lengan Rasulullah SAW. Lalu para sahabat menggali kubur dan dimasukkan jasad Julaibib kedalamnya serta tidak disebutkan tentang mandi.

Hadith tersebut menunjukkan betapa mulianya darjat beliau di sisi Allah SWT sehingga dikurniakan syahid dan bagaimana martabatnya diangkat oleh Rasulullah SAW dengan ucapan, “Orang ini adalah sebahagian dariku dan aku sebahagian darinya”.

Hal ini mengajarkan kepada kita bahawa bukan paras rupa dan harta yang menjadi pengukur kepada tingginya darjat seseorang Muslim, tetapi hati yang bertakwa kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

BACA: Jangan Tahu Pakai Je, Ini Cara Mudah Bersihkan Cermin Mata 

Sumber: Maktabah al-Bakri

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma