Siakap Keli
cameron highlands bandar bahagia
Kredit: Bernama

Cameron Highlands Dahului Senarai 10 Bandar Paling Bahagia 2024

Cameron Highlands Dahului Senarai 10 Bandar Paling Bahagia 2024

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) — Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 meningkat 5.7 mata berbanding lima tahun sebelum ini iaitu daripada 81.24 peratus pada 2019 kepada 86.94 peratus pada 2024.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bandar paling bahagia didahului Cameron Highlands, diikuti Jeli (Kelantan) dan Jerantut (Pahang).

“Ini menunjukkan kesejahteraan rakyat negara kita terpelihara melalui perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyediaan kemudahan yang menyumbang kepada persekitaran kehidupan selesa serta kondusif,” katanya kepada media selepas melancarkan Sambutan Hari Kebahagiaan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan pada 2024, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bersama 144 PBT membuat kaji selidik dalam kalangan penduduk dan mendapati 71 peratus telah mencapai tahap bahagia, manakala 29 peratus mencapai tahap sederhana bahagia.

Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan telah mula disambut secara rasmi sejak 2015.

Nga berkata keharmonian, keamanan dan masyarakat berbilang kaum adalah kunci kejayaan negara, justeru penting bagi masyarakat mengamalkan prinsip MADANI yang mengetengahkan sikap saling hormat-menghormati dan ihsan.

Menurutnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mempergiatkan inisiatif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seperti menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) komprehensif dan berdaya saing serta meningkatkan Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata.

Inisiatif lain termasuk melaksanakan Penarafan Bandar Pintar Malaysia, Operasi Pembasmian Berterusan Tapak Pelupusan Sampah Haram, Blueprint Ekonomi Kitaran, menambah baik Penyampaian Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus di PBT dan membina 100 Taman Rekreasi Awam MADANI di seluruh negara.

Nga berkata KPKT melalui PLANMalaysia juga akan terus komited untuk melaksanakan dan merealisasikan perancangan bandar dan desa yang seimbang, terangkum dan saksama.

BACA: Isu Kurma Dari Israel, Syarikat Matahari Mohon Maaf

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma