Siakap Keli
pkns shah alam dirobohkan
Gambar: Bernama

PKNS Nafi Dakwaan Kompleks PKNS Shah Alam Akan Dirobohkan

PKNS Nafi Dakwaan Kompleks PKNS Shah Alam Akan Dirobohkan

SHAH ALAM — Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan tular di media sosial dan laporan akhbar mengenai cadangan merobohkan Kompleks Shah Alam yang telah berusia empat dekad itu.

PKNS dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan terhadap dakwaan yang tidak berasas tersebut yang sama sekali tidak benar.

Tambah perbadanan negeri itu, pihaknya menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan kompleks ini sebaliknya akan dinaik taraf.

Susulan itu, PKNS akan membuat laporan polis dan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan penyebaran berita tidak benar ini.

BACA: Kisah Kanako: Hilang Telefon, Temui Islam 

“Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun itu, merupakan salah satu mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan yang penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar.

“Perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

“Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan melibatkan beberapa slot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mail dan Pusat Konvokensyen SACC dimana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak melibatkan bangunan Kompleks PKNS.

“Sebaliknya, kawasan ini akan dinaik taraf untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman yang lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat,” kata PKNS dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut PKNS, projek peremajaan ini juga adalah penting dengan usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon dengan bangunan yang dinaik taraf akan menggunakan sistem ‘centralised chill water’ selain sistem tenaga hijau.

“Ia juga sebagai memenuhi komitmen PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan serta peningkatan taraf sosioekonomi negeri Selangor secara keseluruhan.

“Sepanjang proses menaik taraf ini, operasi perniagaan di Kompleks PKNS akan berlangsung seperti biasa dan pengunjung akan bebas membeli barang keperluan mereka,” maklum PKNS lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan dakwaan kawasan tersebut akan dirobohkan hingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Sumber: PKNS 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?