Siakap Keli
sesi persekolahan 2026
Gambar: Bernama

Sesi Persekolahan 2026 Kembali Bermula Pada Januari – KPM

Sesi Persekolahan 2026 Kembali Bermula Pada Januari – KPM

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi baharu persekolahan telah kembali semula kepada Januari bagi tahun 2026, iaitu dua tahun dari sekarang, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, kalendar persekolahan tersebut tidak mengikuti sesi kalendar pandemik Covid-19, yang bermula pada Mac.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata bagi sesi 2024/2025, pihaknya sudah mula merancang dalam menetapkan kalendar akademik persekolahan pada Februari tahun depan.

“Kawalan dan perancangan ini dibuat bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun 2026 dapat bermula pada bulan Januari sehingga Disember.

“Pada masa yang sama, KPM perlu memastikan bahawa penyediaan kalendar akademik adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (penggal, hari dan cuti sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari,” ujarnya dalam persidangan Dewan Rakyat pada hari ini.

Kah Woh menjawab perkara itu sewaktu diajukan soalan oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berhubung sama ada kalendar persekolahan akan dikembalikan semula seperti terdahulu iaitu pada Januari sehingga Disember ataupun tidak oleh KPM.

BACA: Rapper Terkenal Amerika Syarikat Lil Jon Peluk Islam

Tambahnya, KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan seperti penyediaan kalendar akademik tahun-tahun sebelum ini.

Pada November 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun berkenaan dilanjutkan sehingga Februari 2022.

Keputusan itu sekaligus menganjakkan sesi persekolahan bagi tahun baharu itu bermula pada Mac.

“Iaitu pihak kesatuan atau persatuan keguruan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf Kalendar Akademik Tahun 2025 dan draf Kalendar Akademik Tahun 2026 sebelum diangkat untuk pewartaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, KPM akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu.

Perkara itu bertujuan untuk menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?