Siakap Keli

Stoking Tertera Kalimah Allah: Pengasas KK Mart, Isteri & Syarikat Pembekal Didakwa Hari Ini

Stoking Tertera Kalimah Allah: Pengasas KK Mart, Isteri & Syarikat Pembekal Didakwa Hari Ini

Susulan isu stoking tertera kalimah Allah, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui antara yang dijangka didakwa hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, turut didakwa adalah Soh Chin Huat, pemilik Xin Jian Chang Sdn Bhd, iaitu syarikat yang membekal stoking berkenaan.

Pertuduhan terhadap individu-individu tersebut akan dibacakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir dan Norazlin Othman.

Sinar Harian berkata, pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 298 dan 109 Kanun Keseksaan (KK) masing-masing kerana dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam serta bersubahat.

Terdahulu, sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway menjadi tular selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Malah, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut murka dan menitahkan supaya tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap pihak yang didapati bersalah oleh pihak berkuasa dalam isu tersebut, lapor BERNAMA.

Sultan Ibrahim menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong bertitah kalimah Allah dipandang sangat tinggi dalam sanubari umat Islam, dan tidak sepatutnya timbul perkara yang boleh membangkitkan kemarahan terutamanya dalam bulan Ramadan.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah adalah tidak masuk akal untuk sebuah syarikat yang kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara tersebut.

BACA: JBPM Siasat Butik Terkenal Dipercayai Ingkar Arahan Masuk Premis Terbakar

Sumber: Sinar Harian

Athirah

When nothing goes right, go left.