Siakap Keli
bila al-quran diturunkan
Kredit: Bernama

Bila Al-Quran Diturunkan, Malam Nuzul Al-Quran Atau Malam Lailatul Qadar?

Bila Al-Quran Diturunkan, Malam Nuzul Al-Quran Atau Malam Lailatul Qadar?

Al-Quran merupakan kitab suci yang dijadikan sebagai panduan utama penganut agama Islam dan masih menjadi rujukan sehingga hari ini.

Secara umumnya, Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada umat manusia secara berperingkat.

Namun begitu, terdapat perdebatan berkenaan waktu al-Quran diturunkan ke muka bumi. Majoriti berpendapat al-Quran diturunkan pada malam Nuzul Al-Quran.

Ada juga segelintir pendapat yang menyatakan al-Quran diturunkan pada malam lailatul Qadar.

Oleh itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjawab persoalan ini menerusi perkongsian di laman sesawangnya.

Berikut adalah perkongsiannya:

Malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri.

Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat.

Adapun penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar adalah malam al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Sesungguhnya antara kemuliaan bulan Ramadan adalah berlakunya peristiwa penurunan mukjizat agung Rasulullah SAW pada bulan tersebut dan peristiwa ini dikenali sebagai nuzul al-Quran. Peristiwa ini telah dirakam oleh Allah SWT dalam firmannya:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah;185)

Berdasarkan ayat di atas, Ibn Kathir mentafsirkan bahawa Allah SWT memuliakan bulan puasa berbanding bulan yang lain yang mana bulan tersebut terpilih sebagai bulan turunnya al-Quran berbanding bulan-bulan yang lain.

Perbezaan antara penurunan al-Quran pada malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar adalah perbezaan dari segi kaedah penurunan al-Quran .

Sesungguhnya al-Quran diturunkan secara berperingkat yang mana ia bermula dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah (langit dunia) dan seterusnya,dari baitul ‘izzah turun kepada Rasulullah SAW.

Oleh yang demikian, perbezaan penurunan al-Quran di antara dua malam ini adalah seperti berikut:

Pertama, penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar ialah proses penurunan dari luh mahfuz ke baitul ‘izzah atau dikenali sebagai langit dunia sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar,”

(Surah al-Qadr: 1)

Berdasarkan firman Allah di atas, Ibn kathir menafsirkan ayat ini dengan menukilkan pandangan Ibn Abbas tentang perkara ini yang mana Allah SWT menurunkan al-Quran secara serentak pada malam tersebut.

Kemudian, Allah SWT menurunkan wahyu secara berperingkat kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun.

Kedua, penurunan pada hari nuzul al-Quran atau pada tanggal 17 Ramadan adalah merupakan penurunan wahyu pertama yang diturunkan ke gua Hira’ yang mana ia melibatkan permulaan surah al-‘Alaq sekali gus bermulanya penurunan wahyu secara beransur-ansur dari Baitul ‘izzah kepada Rasulullah SAW.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Ibn Kathir dengan menukilkan riwayat Abu Jaafar al-Baqi:

كَانَ ابْتِدَاءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلَّم يوم الِاثْنَيْنِ، لِسَبْعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Permulaan wahyu bagi Rasulullah SAW pada hari Isnin bersamaan malam 17 dari bulan Ramadan.”

(Rujuk al-Bidayah wa al-Nihayat: 3/11)

Kesimpulan:

Malam nuzul al-Quran dan malam lailatulqadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran mengikut peringkatnya tersendiri.

Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah (langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat.

Adapun penurunan al-Quran pada malam lailatulqadar adalah malam al-Quran diturunkan dari luh mahfuz ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.

Wallhu A’lam.

BACA: Setiap Bahan Ada Maksud Tersendiri, Ini Falsafah Sebalik Hidangan Rendang

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma