Siakap Keli
Kuala Lumpur Termasuk Top 10 Destinasi Pelancongan Pilihan Ramai 2024
Gambar: AFP

Kuala Lumpur Diundi Sebagai Bandar Keempat Terbaik Di Asia Pilihan Pelancong

Kuala Lumpur Diundi Sebagai Bandar Keempat Terbaik Di Asia Pilihan Pelancong

Asia Pasifik merupakan sebahagian kawasan di dunia yang kaya dengan keunikan budaya, alam semula jadi dan sejarah yang menarik.

Keunikan kawasan ini dapat dilihat dalam perpaduan agama, bangsa, budaya, alam dan makanan yang membezakannya dari kawasan lain di dunia.

Sebagai pangkalan ekonomi yang kian pesat, banyak negara di Asia Pasifik yang menjadi pilihan para pelancong untuk aktiviti pelancongan, percutian dan pengembaraan.

Antaranya ialah China, Jepun, Filipina, Indonesia dan termasuklah negara kita yang tercinta, Malaysia.

Kuala Lumpur Duduki Tempat Ke-4 Daripada 10 Bandar Terbaik Di Asia

Dalam pada itu, DestinAsian baru-baru ini mengumumkan senarai 10 bandar terbaik di Asia pada 2024 berdasarkan pilihan para pembacanya.

Berdasarkan hantaran tersebut, ibu kota Thailand iaitu Bangkok dinobatkan sebagai bandar terbaik di Asia, diikuti Tokyo, Jepun ditangga kedua dan Singapura ditangga ketiga.

Manakala  ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur turut tersenarai antara 10 bandar terbaik di Asia di tangga keempat.

Menurut DestinAsian lagi, Hong Kong telah diundi sebagai bandar kelima terbaik, mengatasi Seoul (Korea Selatan) dan Sydney (Australia) yang berada di tangga keenam dan ketujuh.

Posisi kelapan pula diisi oleh Shanghai (China) dalam senarai tersebut. Taipei (Taiwan) dan Ho Chin Minh City (Vietnam) pula melengkapkan 10 teratas dengan masing-masing berada di tangga ke-9 dan ke-10.

Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu ia merupakan suatu kebanggaan untuk melihat ibu kota negara kita diundi antara empat bandar terbaik di Asia.

Apa tidaknya, Kuala Lumpur sememangnya terkenal dengan deretan bangunan pencakar langit, budaya masyarakat yang pelbagai, makanan yang lazat serta pemandangan yang indah.

Di Kuala Lumpur, setiap waktu berlalu pasti memberikan pengalaman menarik yang berbeza-beza.

Siangnya sarat dengan pelbagai ragam penghuninya yang mencerminkan Kuala Lumpur sebuah ibu kota yang aktif dan progresif.

Malamnya pula menjadi destinasi keluarga untuk bersantai-santai dan berhibur-hibur dengan keluarga masing-masing.

Kuala Lumpur lebih daripada sebuah ibu kota yang mempamerkan kemegahan Malaysia, tetapi di sinilah kebanggaan masyarakat lokal dan pusat pengalaman bagi pelancong dari seluruh dunia.

Bukan sahaja unik dan indah kerana struktur fizikalnya, tarikan sebenar Kuala Lumpur terletak pada keramahan masyarakat lokalnya yang sentiasa bersedia menyambut dengan senyuman dan layanan mesra.

Semoga Kuala Lumpur menjadi destinasi pelancongan yang memberikan pengalaman yang tidak terlupakan kepada para pengembara dunia.

BACA: Rakyat Malaysia Akan Alami Raya Yang Berbeza Kali Ini Berbanding Tahun Lepas, Ini Sebabnya

Sumber: DestinAsian

Sharifah Hannah Adibah