Siakap Keli
Indonesia pintas Malaysia ranking FIFA
Gambar: Timnas Indonesia

Tidak Rasmi: Indonesia Pintas Malaysia, Daki 9 Anak Tangga Ranking FIFA

Tidak Rasmi: Indonesia Pintas Malaysia, Daki 9 Anak Tangga Ranking FIFA

Peminat bola sepak di Indonesia ternyata sedang menikmati hari yang indah apabila pasukan Garuda kesayangan mereka terus mempamerkan prestasi luar biasa.

Berjaya mara sehingga pusingan ke-16 dalam kempen Piala Asia yang lepas, skuad bimbingan Shin Tae-yong turut tampil hebat dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia Pusingan Kedua yang sedang berlangsung ketika ini.

Semalam, mereka berjaya menundukkan Vietnam, antara jaguh di rantau ini, yang mana lebih manis kerana kemenangan itu dilakar di gelanggang lawan.

Dengan kemenangan 3-0 yang dicatatkan semalam, Indonesia sebenarnya sudah menang tiga kali berturut-turut ke atas lawan yang sama.

Indonesia pintas Malaysia dalam ranking FIFA

Dalam dua pertemuan terdahulu, Indonesia menang 1-0 ketika aksi peringkat kumpulan di Piala Asia dan sekali lagi, menang 1-0 dalam pertemuan pertama peringkat kumpulan kempen kelayakan itu.

Kecemerlangan yang ditunjukkan, terutamanya dengan kemenangan semalam, Indonesia kini konsisten memperbaiki kedudukan mereka dalam ranking FIFA.

Menang ke atas Vietnam yang berada di ranking lebih tinggi, Indonesia secara tidak rasmi mengumpul sebanyak 14.66 mata untuk mengumpul keseluruhan sebanyak 1102.7 mata.

Secara tidak rasmi juga, selepas menundukkan Vietnam dua kali dalam kempen kelayakkan ini, Indonesia berjaya mendaki sembilan anak tangga dalam rangking FIFA untuk berada di ranking ke-133 dunia.

Namun begitu, peningkatan yang ditunjukkan Indonesia memberi khabar duka kepada peminat bola sepak tanah air apabila mereka, sekali lagi secara tidak rasmi, berjaya memintas kedudukan Malaysia.

Skuad kebangsaan yang tewas dua kali berturut-turut kepada Oman, dengan kedua-dua perlawanan berkesudahan 2-0, telah kehilangan mata-mata penting ranking FIFA.

Malaysia jatuh lima anak tangga

Dalam Footranking, Malaysia jatuh lima anak tangga untuk berada dua tangga di bawah Indonesia di ranking ke-137 dunia.

Berbaki dua perlawanan dalam kempen kelayakan pusingan kedua ini, Malaysia masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA.

Namun yang paling penting, Malaysia perlu menang kedua-dua aksi itu untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 yang seterusnya dan mara ke Piala Asia 2027.

BACA: Viral Video Ada Besi Dalam Bijirin? Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu

Sumber: Footranking

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.