Siakap Keli
STR Fasa 2
Gambar: Bernama

8.4 Juta Rakyat Bakal Terima STR Fasa 2 Mulai Rabu Ini

8.4 Juta Rakyat Bakal Terima STR Fasa 2 Mulai Rabu Ini

PUTRAJAYA —  Kementerian Kewangan mengumumkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bakal disalurkan kepada 8.4 juta rakyat mulai 3 April 2024 ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, beliau berkata peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 telah naik sebanyak 20 peratus melibatkan implikasi wang berjumlah RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.

Difahamkan, rakyat bakal menerima bayaran sumbangan tersebut antara RM100 hingga RM650.

“Reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan MADANI bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat iklhas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

“Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

BACA: Kerajaan Umum Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 Kepada Penjawat Awam Gred 56 Ke Bawah

Selain penerima menerima pembayaran STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank, sumbangan itu juga disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori.

“Mulai 2024, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” jelas Anwar lagi.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Walau bagaimanapun, kementerian ingin menasihatkan agar penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.

Sumber:  X Kementerian Kewangan

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?