Siakap Keli
Tabung Haji umum Keuntungan
Gambar: Bernama

Tabung Haji Umum Agihan Keuntungan 3.10 Peratus 

Tabung Haji Umum Agihan Keuntungan 3.10 Peratus 

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2023, sama seperti tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata jumlah keseluruhan agihan keuntungan berkenaan melibatkan RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH.

“Ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan TH selama 60 tahun adalah sebanyak RM42.88 bilion sehingga kini,” katanya pada sidang media pengumuman kadar agihan keuntungan TH tahun kewangan 2023, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Mustakim Mohamad.

Mohd Na’im berkata agihan keuntungan TH 2023 mematuhi Akta Tabung Haji 1995 iaitu dilaksanakan setelah penyata kewangan TH tahun lepas selesai diaudit Jabatan Audit Negara dan mengambil kira rosot nilai terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi serta pelaburan hartanah di United Kingdom.

BACA: “Ingatkan Dekat Malaysia”, Wanita Kongsi Kemeriahan Suasana Bazar Ramadan Di Australia

Mohd Na’im turut mengumumkan pelunasan zakat RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk tahun lepas, dengan diselaraskan berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.

“TH berharap pelunasan zakat ini secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara,” katanya dan menambah sehingga kini, jumlah terkumpul zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit adalah RM1.37 bilion.

Katanya pendeposit TH boleh memeriksa keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12 tengah hari ini, menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam serta Bank Rakyat, selain saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Mengenai Program Zakat Wakalah TH, Mohd Na’im berkata TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara pada tahun lepas dan secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah TH.

Sementara itu Syed Hamadah berkata pengiraan agihan keuntungan TH 2023 adalah berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.

Beliau berkata sebagai institusi simpanan bagi tujuan menunaikan ibadat haji, TH akan memberi penekanan kepada pelaburan yang bertanggungjawab dan mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan yang mensasarkan potensi penjanaan berdaya tahan, selamat dan mampan.

“TH juga sentiasa berusaha bagi menambah baik perkhidmatan dengan melaksanakan pembaharuan bagi menambah nilai untuk manfaat pendeposit,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?