Siakap Keli
Pembuangan Beras Di Kuala Krau
Kredit: Syed Muaz Syed Putra via Facebook,

Menteri Arah Siasat Segera Kejadian Timbunan Beras Dipercayai Dibuang

Menteri Arah Siasat Segera Kejadian Timbunan Beras Dipercayai Dibuang

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengarahkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Temerloh untuk menyiasat kejadian pembuangan beras di Kuala Krau, Pahang.

Menurut Mohamad Sabu menerusi media sosial, kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Saya telah mengarahkan siasatan segera dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Temerloh, Pahang berkaitan insiden timbunan beras yang dipercayai dibuang di sebuah kawasan pembuangan sampah di Kuala Krau, Pahang.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dengan segera,” jelas beliau menerusi akaun X.

Rakaman puluhan kampit beras, tepung & sardin dibuang dan dibakar

Terdahulu, tular sejak semalam beberapa keping foto dan video yang menunjukkan puluhan kampit beras, tepung dan sardin didakwa dibuang di sebuah tapak pelupusan sampah di Rumpun Makmur, Kuala Krau di Pahang.

Berita mengejutkan itu mula mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik oleh warga maya di pelbagai platform media sosial, termasuk di TikTok dan Facebook.

Berdasarkan video-video tersebut, dapat dilihat ada bahan-bahan makanan yang dibuang itu turut dibakar.

Keadaan itu juga ternyata mengundang perhatian warga maya dan meninggalkan komen yang mengkritik perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang terlibat.

Mereka juga mendesak pihak berkuasa memandang serius isu ini dan menjalankan siasatan segera bagi membolehkan individu yang terlibat dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, pengguna media sosial juga mendakwa, ada pihak yang bertindak pantas membakar barang makanan berkenaan selepas ia menjadi tular.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan siapakah pihak yang bertanggungjawab membuang barang makanan itu. Motif tindakan tersebut juga tidak diketahui.

BACA: Wanita Kongsi Tip Elak Sampah Berbau Dan Berair Guna Satu Bahan Je

Sumber: MSabuOfficial via X

Athirah

When nothing goes right, go left.