Siakap Keli
SUK Melaka, Datuk Zaidi Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung
Sumber: Astro Awani

SUK Melaka, Datuk Zaidi Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

SUK Melaka, Datuk Zaidi Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka, Datuk Zaidi Johari, 54, dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.15 pagi, semasa dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam kenyataannya mengesahkan perkara berkenaan dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negeri Melaka.

“Secara peribadi saya cukup terkesan dan amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham yang mana pemergian dalam waktu yang singkat ini merupakan suatu kehilangan besar kepada seluruh warga perkhidmatan awam negeri.

“Jasa dan sumbangan Allahyarham Datuk Wira Zaidi cukup besar kepada Kerajaan Negeri Melaka sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka bermula pada 5 Januari 2022 hingga kini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham melalui akaun rasmi Facebook miliknya.

“Saya berasa amat dukacita atas pemergian Allahyarham dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama kalangan orang beriman dan bertaqwa.

“Dititipkan juga iringan doa semoga keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi ujian kehilangan orang tersayang serta dipermudahkan segala urusan.

“Bagi saya, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada perkhidmatan awam khususnya Negeri Melaka,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di Hospital Melaka dan dibawa ke Masjid Al-Azim untuk disolatkan, seterusnya jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tebong, Alor Gajah selepas solat Jumaat untuk dikebumikan.

Difahamkan, Allahyarham sekeluarga sepatutnya mengadakan jamuan rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya, tengah hari esok.

BACA: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

Sumber: Astro Awani

Sharifah Hannah Adibah