Siakap Keli
kenapa langit warna hijau
Gambar: X & Fox Weather

Kenapa Langit Bertukar Warna Hijau Ketika Dilanda Ribut? Ini Sebabnya

Kenapa Langit Bertukar Warna Hijau Ketika Ribut Landa? Ini Sebabnya

Kebiasaannya, langit akan berubah daripada cerah kepada gelap kehitaman menandakan hujan lebat bakal membasahi bumi.

Ketika hujan, pemandangan yang terhasil seperti asap jerebu berwarna kelabu adalah disebabkan titisan hujan yang turun tanpa henti.

Namun, pernah tak terfikir mengapa sesetengah langit berubah warna hijau sewaktu hujan lebat melanda sesuatu kawasan? Seperti video tular langit bertukar hijau di Dubai baru-baru ini ketika hujan lebat yang melanda.

Sehubungan itu, artikel kali ini akan berkongsikan sebab ia berlaku. mari kita ikuti perkongsian Fox Weather di bawah.

Kenapa Langit Bertukar Warna Hijau Ketika Ribut Landa?

Gambar: X

Menurut Ahli Meteorologi Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA), fenomena ini dipercayai berlaku apabila ais atau air dalam ribut membantu menyebarkan cahaya, menjadikan awan kumulonimbus kelihatan seolah-olah ia adalah warna yang berbeza.

BACA: Tular Video Langit Dubai Bertukar Hijau Ketika Ribut Melanda Raih Perhatian

Perkara ini merupakan kejadian alam yang biasa bagi ribut petir yang menghasilkan hujan batu.

Teori mudah mengenai cahaya hijau ini adalah semakin banyak hujan dan hujan batu dalam awan ribut, semakin besar kemungkinan angin kuat yang naik berlaku, membantu penyebaran cahaya dan menjadikan langit kelihatan hijau.

Fenomena ini biasanya berlaku pada waktu petang dan awal pagi apabila matahari berada pada sudut rendah ufuk.

Sebenarnya Warna Biru

Ahli Meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Nebraska berkata, warna asal yang dihasilkan sebenarnya adalah warna biru. Ini kerana zarah air dan ais di dalam awan berfungsi menyerakkan cahaya biru.

Walau bagaimanapun, ia berubah menjadi kehijauan apabila diterangi oleh sinaran matahari.

Gambar: Fox Weather

“Zarah air atau ais dalam awan ribut dengan kedalaman yang besar dan kandungan air akan lebih menyerakkan cahaya baru.

“Tetapi apabila cahaya kemerahan yang bertaburan di atmosfera terpancar ke titisan air dari awan, ia akan menghasilkan warna hijau,” katanya.

Peristiwa yang berlaku di Dubai baru-baru ini bukanlah kali pertama dilaporkan.

Pada Julai 2022, langit di Sioux Falls, South Dakota bertukar hijau sewaktu ribut yang membawa angin kencang dan hujan batu melanda kawasan itu.

Fenomena itu sempat dirakamkan oleh kamera Jabatan Pengangkutan tempatan.

Sumber: Fox Weather 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?