Siakap Keli
rakyat malaysia kayuh basikal madinah
Gambar: Bernama via Ahmad Isa

Tiga Rakyat Malaysia Kayuh Basikal Tiba Di Madinah

Tiga Rakyat Malaysia Kayuh Basikal Tiba Di Madinah

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Selepas 105 hari melakukan pengembaraan berbasikal dari Kuala Lumpur, tiga rakyat Malaysia termasuk pasangan suami isteri berjaya tiba di Madinah, Arab Saudi pada Jumaat lepas (19 April) dalam misi menunaikan rukun Islam kelima, ibadat haji.

Ketiga-tiga mereka ialah Ahmad Mohd Isa, 36, isterinya Noradilah Mohd Sapie, 37, dan seorang kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) Abdul Halim Talha, 57, tiba di destinasi selepas menempuh perjalanan sejauh 12,000 kilometer (km).

Ahmad berkata kayuhan kali ini lebih singkat berbanding kayuhan sama sembilan tahun lepas kerana matlamat utama ialah melakukan haji selain separuh perjalanan pula terpaksa menggunakan kenderaan seperti kereta api, kapal terbang, feri dan kereta atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Gambar: Bernama via Ahmad Isa

“Pada 2016, saya dan isteri ketika itu baru lepas berkahwin dan pengembaraan berbasikal lebih kepada berbulan madu dengan membabitkan 14 negara yang mengambil masa setahun tiga bulan untuk sampai ke Makkah sebelum menunaikan ibadat umrah.

“Tapi pengembaraan kali ini lebih berfokus iaitu menunaikan haji yang membabitkan laluan tujuh negara dengan lima bulan sahaja masa yang diambil untuk sampai di sini (Madinah),” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

BACA: Kenapa Langit Bertukar Warna Hijau Ketika Dilanda Ribut? Ini Sebabnya

Mereka melalui Thailand sebelum mengambil penerbangan ke India dan menyambung kayuhan ke Pakistan dan Iran dan kemudian menaiki feri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terus berkayuh ke Arab Saudi.

rakyat malaysia basikal madinah
Gambar: Bernama via Ahmad Isa

Bercerita lanjut, Ahmad berkata seorang lagi rakannya yang juga bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Che Saad Nordin, 74, yang berbasikal bersama pada peringkat awal, tidak dapat meneruskan kembara kerana faktor kesihatan dan cuaca sejuk ketika tiba di Pakistan sekitar Januari lepas.

Menurutnya, walaupun berpengalaman berbasikal menjelajahi Malaysia sebanyak 22 kali, namun faktor geografi pergunungan dan cuaca sejuk menjejaskan kesihatan Che Saad.

“Ketika memasuki Pakistan, cuaca sejuk dengan suhu di bawah 10 darjah Celsius menyebabkan kesihatan Pak Ad (Che Saad) merosot dengan batuk berpanjangan, hilang selera makan, jadi menjadi halangan kepadanya untuk berkayuh (basikal) dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Selepas perbincangan bersama dan mendengar nasihat doktor supaya tidak meneruskan kayuhan basikal, Pak Ad bersetuju mengambil tiket penerbangan pulang ke Malaysia. Alhamdullilah, selepas tiba di tanah air dan mendapat rawatan susulan, kesihatannya kini bertambah baik,” katanya.

rakyat malaysia basikal madinah
Gambar: Bernama via Ahmad Isa

Sementara itu, mereka turut menghasilkan poskad berilhamkan setiap negara yang dijelajahi bagi menampung kos haji dan menurut Ahmad, sehingga kini sebanyak 1,558 keping berjaya dijual dengan nilai lebih RM141,000.

“Ada beberapa pilihan yang ada dalam usaha kami untuk menunaikan haji ini dan antaranya melalui visa mujamalah dari Kedutaan Arab Saudi yang diberikan kepada agensi atau pengelola haji terpilih dari Malaysia,” katanya.

rakyat malaysia basikal madinah
Gambar: Bernama via Ahmad Isa

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"