Siakap Keli
Helikopter TLDM CAAM
Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Nahas Heli TLDM: KLARCC Diaktifkan Selaras Operasi Menyelamat – CAAM

Nahas Heli TLDM: KLARCC Diaktifkan Selaras Operasi Menyelamat – CAAM

PUTRAJAYA — Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pengaktifan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) bagi penyelarasan operasi menyelamat telah dilakukan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 10.20 pagi.

Ia susulan nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Dato’ Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan hari ini.

“Siasatan lanjut kemalangan akan dijalankan oleh pihak TLDM,” katanya dalam kenyataan.

10 Orang Terkorban

Sebelum ini, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Komander Operasi Kanan, TPgB II Suhaimy Mohd Suhail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.50 pagi, pada Selasa.

“Pasukan Bomba daripada dua buah balai berhampiran iaitu Balai Bomba Penyelamat (BBP) Seri Manjung dan BBP Sitiawan telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT, kenderaan Unit EMRS dan kenderaan utiliti Toyota Hilux sebaik dihubungi.

“Kesemua 10 orang mangsa yang terlibat telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA: Dua Buah Helikopter TLDMĀ Terhempas Di Perak

Difahamkan, kedua-dua pesawat itu bertembung ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Manjung, Perak.

“Kerja-kerja untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat di lokasi kejadian telah dijalankan oleh pasukan Bomba sehingga selesai,” katanya lagi.

Sementera itu, TLDM dalam satu kenyataan turut memaklumkan proses pengecaman mayat juga dilakukan.

“TLDM mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

“Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing 7 kru HOM TLDM dan 3 kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” maklum kenyataan tersebut.

TLDM turut memaklumkan pihaknya akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sehubungan itu, TLDM juga memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan

Sumber: X @CAA Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?