Siakap Keli
helikopter tldm bantuan awal
Kredit: Bernama

Kerajaan Salur Bantuan Awal RM10,000 Kepada Waris Mangsa Nahas Helikopter TLDM

Kerajaan Salur Bantuan Awal RM10,000 Kepada Waris Mangsa Nahas Helikopter TLDM

Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk memberikan bantuan awal bernilai RM10,000 kepada waris-waris mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini.

“Sebagai meringankan beban yang ditanggung, Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga,” katanya.

Malah, Kementerian Pertahanan juga telah menubuhkan Tabung Khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

“Segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, Mesyuarat Jemaah Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada waris-waris mangsa yang terbabit dalam insiden menyayat hati itu.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas tragedi dua buah helikopter TLDM yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada 23 April 2024,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka.

Khaled memaklumkan bahawa Lembaga Siasatan (Board of Inquiry) yang ditubuhkan telah diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja.

Manakala, lembaga tersebut perlu menyerahkan laporan penuh berkenaan insiden terbabit dalam tempoh 30 hari bekerja.

Semalam, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter pada jam 9.32 pagi.

Kesemua mangsa difahamkan terlibat dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Nahas terbabit telah melibatkan dua aset TLDM iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM.

Kedua-dua aset ini dilaporkan sedang menjalani raptai bersempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Pun begitu, Hari TLDM Ke-90 telah dibatalkan secara rasmi dan digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat.

BACA: Nahas Helikopter: Anggota TLDM Cedera Terkena Serpihan Ketika Berada Dalam Kolam Renang

Sumber: KhaledNordin via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma