Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nahas Helikopter: Kerajaan Sarawak Salur RM100,000 Kepada Setiap Keluarga Petugas Yang Terkorban

Nahas Helikopter: Kerajaan Sarawak
Kredit: Bernama

Kerajaan negeri Sarawak bersetuju untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap keluarga petugas yang telah terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, kerajaan negeri turut menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam serta merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga dan waris mangsa.

“Para petugas berkenaan sedang melaksanakan amanah yang amat mulia dan penting, iaitu membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat. Mereka mengabdikan diri bagi memastikan rakyat, tanpa mengira lokasi dan keadaan, terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.

“Pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperkhidmatan serta seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

Nahas helikopter: Kerajaan Sarawak salur RM100,000

Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman, amat besar nilainya. Khidmat bakti mereka mencerminkan keprihatinan dan komitmen dalam memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada menerima perkhidmatan asas yang diperlukan.

“Dalam suasana penuh kesedihan ini, Kerajaan Sarawak berdiri bersama keluarga dan waris yang ditinggalkan serta menzahirkan simpati, keprihatinan dan solidariti yang sedalam-dalamnya.

“Sebagai tanda keprihatinan dan bagi membantu meringankan beban keluarga yang terlibat, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak bersetuju agar Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000.00 kepada setiap keluarga petugas yang terkorban.

Kerajaan Sarawak turut bersetuju untuk menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kerajaan Sarawak amat menghargai segala jasa dan pengorbanan para petugas yang telah melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan keberanian. Khidmat bakti mereka kepada masyarakat pedalaman dan rakyat Sarawak keseluruhannya akan terus dikenang dan tidak akan dilupakan.

“Semoga seluruh ahli keluarga dan waris dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian serta kehilangan insan tersayang.

“Bagi yang beragama Islam, Al-Fatihah. Semoga roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Bagi yang bukan beragama Islam, semoga mereka yang telah pergi bersemadi dengan tenang dan damai serta semoga keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Intipati
  • Kerajaan Sarawak akan menyalurkan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas yang terkorban.
  • Petugas terbabit membawa perkhidmatan kesihatan ke kawasan pedalaman ketika nahas helikopter berlaku.
  • Yayasan Sarawak akan menanggung yuran pendidikan anak mangsa yang masih bersekolah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan