Siakap Keli
Kredit: Astro Shaw

Demam Sheriff Melanda Malaysia, Capai Kutipan RM22.1 Juta Dalam Masa 7 Hari

Demam Sheriff Melanda Malaysia, Capai Kutipan RM22.1 Juta Dalam Masa 7 Hari

Filem aksi thriller, Sheriff: Narko Integriti yang ditayangkan baru-baru ini sekali lagi mengejutkan orang ramai apabila mencapai jumlah kutipan kira-kira RM22.1 juta dalam masa tujuh hari tayangannya.

Ini merupakan pencapaian yang cukup baik selepas filem tersebut dilaporkan meraih kira-kira RM16.3 Juta pada 22 April lalu.

Penerbit Eksekutif Sheriff yang juga merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa orang ramai terhadap filem ini.

“Alhamdullilah dan terima kasih penonton Sherifff yang telah memberikan reaksi luar biasa. Melihat respon penonton yang sudah menonton Sheriff di pawagam, rata-rata dapat menerima jalan cerita dengan ‘plot twist‘ yang di luar jangkaan,” ujarnya.

Malah, Raja Jastina memaklumkan ada beberapa penonton yang dikhabarkan telah menonton filem ini melebihi tiga kali di pawagam.

Secara tidak langsung, ini meletakkan Sheriff sebagai salah satu filem tempatan yang terlaris pada tahun ini.

“Memasuki minggu kedua, segelintir penonton sudah mula ulang menonton Sheriff lebih tiga kali di pawagam,

“Kutipan RM22.1 juta meletakkan Sheriff sebagai filem tempatan nombor satu tahun 2024.

“Sekiranya sambutan menggalakkan ini berterusan, insyaallah Sheriff akan mencipta sebuah lagi sejarah dengan meraih kutipan luar biasa,” jelas Raja Jastina.

Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai berpeluang untuk menikmati filem ini sepanjang tempoh tayangan di pawagam.

“Kami mengharapkan penonton yang belum menyaksikan Sheriff tidak akan ketinggalan merasai ‘#DemamSheriff’ dan menikmati sebuah naskhah yang menjanjikan pengalaman berbeza,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut laporan Astro Gempak, kebanyakan warga maya berpuas hati dengan jalan penceritaan filem arahan Syafiq Yusof itu.

Untuk makluman, filem terbitan Astro Shaw dan Skop Production ini dibintangi barisan pelakon yang berpengalaman. Antaranya, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

Sheriff berkisarkan seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik iaitu Inspektor Nazri yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Watak lakonan Syafiq Kyle itu berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu dengan tangannya sendiri disebabkan Tony sering terlepas dari cengkaman undang- undang apabila melalui proses penghakiman.

Pada masa yang sama, seorang anggota daripada Jabatan Integriti iaitu DSP Sheriff telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer‘ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

BACA: Sheriff Raih Kutipan RM16.3 Juta Selepas Lima Hari Tayangan

Sumber: Astro Gempak

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma