Siakap Keli
Sumber : BERNAMA

Kerajaan Jepun Terima Baik Cadangan Kerjasama Dalam Sektor Pembinaan Malaysia

Kerajaan Jepun Terima Baik Cadangan Kerjasama Dalam Sektor Pembinaan Malaysia

Saya berbesar hati dengan kesudian Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur,  Pengangkutan dan Pelancongan Jepun TYT Kokuba Konosuke menerima kunjungan  saya dan delegasi Kementerian Kerja Raya (KKR) di pejabat beliau di Tokyo semalam.  Pertemuan ini menjadi kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun  yang telah dimeterai sejak 65 tahun yang lalu. 

jepun malaysia baik
Sumber : BERNAMA

Semasa pertemuan empat mata di antara saya dan TYT Kokuba, kami telah  berbincang dan bertukar-tukar pandangan melibatkan polisi pembinaan kedua-dua  negara dan bertekad untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor  teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan  cerun, perkongsian maklumat berhubung kait pengurusan dan penyelenggaraan  lebuhraya dan cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal antara Malaysia  dan Jepun. 

Ini selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu Pendigitalan Sektor Pembinaan Negara. 

Dalam hal ini saya yakin Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun dalam sektor pembinaan dan infrastruktur. 

Selain itu, perbincangan turut tertumpu kepada potensi kerjasama yang boleh diteroka  oleh kedua-dua pihak dalam sektor pembinaan. 

Kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut dalam aspek teknikal di peringkat pegawai kedua-dua pihak. 

Saya juga amat teruja dan menghargai persetujuan maklum balas daripada pihak Jepun yang bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan dan jemputan program  antarabangsa anjuran agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga  Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang akan diadakan pada tahun  ini. Dua program yang akan dilaksanakan adalah Highway Concession Conference  pada 24 – 25 September 2024 dan International Construction Week pada November  2024. 

Saya berharap pertemuan empat mata ini akan memberi hasil positif dengan  dimuktamadkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dihasratkan untuk  dimeterai pada suku kedua 2024 dan seterusnya pada program KKR sempena Ekspo  Dunia Osaka 2025. 

Perjanjian persefahaman ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada pemain  industri sektor pembinaan Malaysia meneroka pasaran Jepun selaras dengan  pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik  (CPTPP) yang mana Malaysia dan Jepun adalah ahli di dalam CPTPP ini.

Turut hadir dalam pertemuan ini adalah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril  Effendi Abd Ghany, Timbalan Ketua Setiausaha KKR (Sektor Dasar & Pembangunan)  Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor  Bangunan) Yang Menjalankan Tugas Ketua Pengarah Kerja Raya Dato’ Ir  Badioezaman Ab Khalik, Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Sr. Mohd Zaid Zakaria dan Ketua  Pengarah LLM Dato’ Ir Sazali Harun.

Nurul Naqiyah