Siakap Keli
inspektor polis ditahan kerja
Gambar: BERNAMA

Amang Seksual: Inspektor Polis Akan Ditahan Kerja

Amang Seksual: Inspektor Polis Akan Ditahan Kerja

JOHOR BAHRU, 28 April (Bernama) — Pegawai polis berpangkat inspektor yang ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 22 April lepas akan dikenakan tindakan tahan kerja.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata tempoh reman lelaki berusia 29 tahun itu bermula 23 April lepas tamat hari ini dan dia akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek dalam proses tindakan tahan kerja dan surat tahan kerja akan diedar selepas mendapat arahan daripada Bukit Aman.

“Tindakan tahan kerja akan dikenakan sehingga mendapat keputusan kes di mahkamah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Lelaki terbabit ditahan di sekitar Seri Alam, di sini pada 22 April selepas laporan polis dibuat mangsa pada hari sama kejadian dipercayai berlaku di kawasan Taman Johor Jaya, di sini.

Beliau berkata lelaki itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?