Siakap Keli
leftenan muda chan
Kredit: BTDM

Leftenan Muda Chan Satu-Satunya Penuntut Berbangsa Cina Tamatkan Kursus Asas Komando GGK 2024

Leftenan Muda Chan Satu-Satunya Penuntut Berbangsa Cina Tamatkan Kursus Asas Komando GGK 2024

Sejarah tercipta, Leftenan Muda Chan Min Youn menjadi satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK) baru-baru ini.

Kejayaan beliau menamatkan latihan selama 12 minggu ini telah melayakkannya untuk dianugerahkan Beret Hijau.

Selain dianugerahkan Beret Hijau di kepala, beliau juga turut dianugerahkan pisau komando sekali gus bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).

leftenan muda chan

Perkongsian mengenainya itu telah dimuat naik di laman Berita Tentera Darat Malaysia dan menjadi tular.

Difahamkan, beliau merupakan pegawai daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) sebelum menyertai Kursus Asas Komando GGK pada tahun ini.

Penuntut asal Setapak, Kuala Lumpur itu merupakan graduan perakaunan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Ketika menerima Beret Hijau dan Pisau Komando, beliau menjelaskan bahawa beliau mahu menjadi seorang pegawai tentera disebabkan minat.

leftenan muda chan

“Saya mahu berkhidmat kepada negara, tuan,” katanya dengan jelas sewaktu Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.

Chan (25) juga menjelaskan bahawa dirinya sebenarnya berasal daripada Rejimen 515 Askar Wataniah (AW).

Untuk makluman, Askar Wataniah merupakan pasukan simpanan di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Saya tidak ada pengetahuan pun mengenai komando. Ketika berada di 515 AW, di situlah saya mula ‘berpijak’ dalam dunia ketenteraan.

“Apabila mengenali dunia komando, saya nak cabar diri saya untuk menyertai komando dan tunjukkan kepada diri saya walaupun saya  anggota Askar Wataniah, saya pun boleh jadi seorang komando,” ujarnya.

leftenan muda chan

Ketika ditanya berkenaan matlamat, Chan komited untuk terus berkhidmat sebagai seorang komando untuk menambah ilmu pengetahuan secara berterusan.

“Saya berharap dapat terus berkhidmat sebagai seorang komando dan menjadi seorang komando yang berkualiti dan menjaga nama baik komando sehingga akhir hayat saya,” katanya.

69 Penuntut Kursus Asas Komando Dianugerahkan Beret Hijau

Bersama Chan, seramai 69 penuntut telah dianugerahkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang pada 28 April.

Menurut Berita Tentera Darat Malaysia, perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando ini melibatkan sembilan orang pegawai dan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Upacara penganugerahan beret hijau dan pisau komando telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.

Dalam penganugerahan itu, beliau mengingatkan kepada semua penuntut agar sentiasa menjaga keagungan beret hijau yang dianugerahkan kepada mereka.

Hal ini kerana, aksesori kepala tersebut merupakan imej Special Forces Operators yang profesional dan terlatih. Beret Hijau juga merupakan lambang maruah dan kebanggaan bagi Gerak Khas.

“Jagalah maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara-saudara semua yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkannya.

“Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” ujar Panglima 21 GGK.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 semalam.

BACA JUGA: Betul Ke Isi Minyak “Full Tank” Merugikan? Ini Penjelasan Pakar

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Staf Am 21 GGK, Brigedier Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab, Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brigedier Jeneral Syamsyawal Muhamad, Pengarah Gerak Khas, Kol Zolkinine Yunus dan Pemangku Komandan PULPAK, Leftenan Kolonel Valzahmer Errino Mohd Tahir.

Acara tersebut dimulakan dengan beberapa pertunjukan demonstrasi dari penuntut kursus peningkatan kombat gerak khas.

Kemudian, acara disusuli dengan sesi ramah mesra Panglima 21 GGK bersama ahli keluarga penuntut kursus.

Dalam majlis tersebut, Leftenan Muda Ahmad Mujahid Siddiq Ahmad Rizal dari Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) telah dianugerahkan sebagai Penuntut Terbaik bagi sesi tersebut.

Pada akhir majlis, penuntut telah melafazkan ikrar 12 Sumpah Perajurit Komando dan bendera diserahkan kepada Ketua Cawangan Komando.

BACA: Wajib Ambil Tahu, Doktor Kongsi Lima Sebab Kentut Bau Busuk

Sumber: Berita Tentera Darat Malaysia (1), (2)

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma