Siakap Keli
padi tanam sekali tuai 8 kali
Gambar: Civil Daily

Kenali Benih Padi PR23, Tanam Sekali Tapi Boleh Tuai 8 Kali Dibangunkan Saintis China

Kenali Benih Padi PR23, Tanam Sekali Tapi Boleh Tuai 8 Kali Dibangunkan Saintis China

Secara umumnya, tanaman padi merupakan tanaman terpenting di negara kita kerana daripada padi terhasillah beras yang menjadi makanan asas rakyat Malaysia.

Selain Malaysia, masyarakat Asia rata-ratanya turut menjadikan beras sebagai makanan ruji mereka. Jadi tak hairanlah, banyak pihak di pelbagai negara di benua ini terlibat dalam pelbagai penyelidikan untuk menghasilkan benih padi terbaik.

Benih padi yang baik bukan sahaja perlu tahan penyakit dan bencana alam, malah paling utama adalah mampu menghasilkan tuaian yang cukup untuk memenuhi permintaan pengguna.

Perennial Rice adalah tanaman padi tidak perlu ditanam setiap tahun

Salah satu negara yang giat menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan benih padi yang terbaik adalah China. Menurut Statista, China merupakan negara pengguna dan pengeluar beras terbesar di dunia.

Misalnya pada 2023, statistik menunjukkan jumlah pengambilan beras di China dianggarkan kira-kira 150 juta tan metrik padi. Manakala jumlah pengeluaran beras negara itu pada 2022 pula mencapai kira-kira 208.4 juta tan metrik.

Dengan angka berkenaan, tak hairanlah penyelidik-penyelidik China terus bertungkus-lumus menghasilkan benih padi terbaik.

Salah satu benih padi terbaik pernah China hasilkan adalah benih padi Parennial Rice (PR) 23. Uniknya tentang PR23 adalah para pesawah di sana tidak perlu menanam biji benih padi ini setiap tahun.

Biji benih padi ini dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Yunan menggunakan teknik cross-breeding.

Manakala variati padi yang digunakan pula melibatkan biji benih padi biasa, Oryza sativa yang dikacukkan dengan variati liar yang diperolehi dari benua Afrika.

Berbeza dengan benih-benih lain yang perlu ditanam setiap tahun, benih PR23 tidak perlu ditanam semula dalam tempoh empat tahun dan hasil boleh dituai sebanyak lapan kali berturut-turut.

Hal ini kerana, pokok padi PR23 dengan akar yang sangat kuat dikatakan boleh tumbuh semula setiap kali selepas dituai.

Jumlah tuaian lebih kurang sama, tapi kos lebih jimat

Berkenaan hasil tuaiannya pula, PR23 menghasilkan jumlah tuaian yang sama seperti benih-benih lain, iaitu sekitar 6.8 hingga 8 tan per hektar.

Bagaimanapun, kos penanaman benih padi ini jauh lebih murah memandangkan jumlah tenaga buruh, biji benih, baja dan racun yang diperlukan adalah lebih rendah.

Dalam satu kajian yang dibuat pada 2022 menunjukkan, jumlah tenaga buruh yang digunakan untuk menanam PR23 berkurangan sebanyak 60 peratus.

Selain itu, kos yang perlu dibelanjakan bagi biji benih, racun dan baja oleh pesawah juga turun sebanyak hampir 50 peratus.

Jadi, tak haranlah banyak pesawah-pesawah di China beralih kepada biji benih PR23 berbanding biji benih padi biasa.

Pada 2021, di kawasan selatan negara itu sahaja, padi PR23 ditanam di kawasan seluas kira-kira 15,333 hektar melibatkan kira-kira 44,752 orang pesawah.

BACA: Gunung Ruang Meletus: AirAsia Jadual Semula Penerbangan Antara KL-Tawau, KK-Tawau

Sumber: Civil Daily, Land Institute

Athirah

When nothing goes right, go left.