Siakap Keli
bernard hill meninggal dunia
Sumber: CNN

Pelakon Filem “Titanic” & “Lord of the Rings”, Bernard Hill Meninggal Dunia

Pelakon Filem “Titanic” & “Lord of the Rings”, Bernard Hill Meninggal Dunia

Pelakon British, Bernard Hill yang membintangi filem terkenal “Titanic” dan “Lord of the Rings” telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun.

Menurut CNN, berita duka ini disahkan sendiri oleh ahli keluarganya, pada Ahad.

“Dengan kesedihan yang teramat, kami perlu mengumumkan bahawa Bernard Hill, pelakon terkenal yang dikenali dengan peranannya dalam “Titanic” dan “The Lord of the Rings”, telah meninggal dunia pada awal pagi hari ini pada usia 79 tahun,” demikian kenyataan keluarganya.

Difahamkan, Bernard menghembuskan nafas terakhir ketika bersama dengan tunangnya dan anak lelakinya. Bagaimanapun, punca kematian pelakon itu masih tidak diketahui.

Bernard debut sebagai pelakon pada tahun 1982 menerusi wataknya sebagai “Yosser Hughes” dalam siri mini “Boys from the Blackstuff”.

Beliau berjaya menempah nama dalam dunia perfileman setelah memegang watak sebagai “Kapten Edward Smith” dalam filem “Titanic” arahan James Cameron yang memenangi banyak Oscar pada tahun 1997.

Bukan itu sahaja, beliau kemudiannya menjadi semakin terkenal setelah muncul dalam dua bahagian siri blockbuster “The Lord of the Rings” arahan Peter Jackson sebagai “Theoden”.

Filem lain yang turut dibintangi beliau termasuklah filem “Gandhi,” “Shirley Valentine” dan “The Scorpion King”.

BACA: Tragedi Kepala Air Lembah Maksina: Enam Dikhuatiri Lemas, Dua Cedera

Sumber: CNN

Sharifah Hannah Adibah