Siakap Keli

Menteri Belia Dan Sukan Menyokong Sukan Akar Umbi Di Cameron Highlands

Menteri Belia Dan Sukan Menyokong Sukan Akar Umbi Di Cameron Highlands

1.Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam lawatan kerja ke  Cameron Highlands pada 6 Mei 2024 yang lalu menyatakan beliau akan  menangani keperluan untuk menambah baik infrastruktur sukan yang  melibatkan atlet muda dari kawasan itu. Bagi menunjukkan sokongan  padu untuk sukan akar umbi, YB Hannah Yeoh berkata, “Kementerian  berdedikasi untuk memupuk sukan dari peringkat akar umbi hingga  sukan elit. Kami berhasrat untuk mewujudkan peluang kepada semua  orang untuk melibatkan diri dalam sukan tanpa mengira umur atau latar  belakang mereka.”

2.Lawatan beliau turut disertai oleh YB Dato’ Ramli Bin Dato’ Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highlands dan beberapa pegawai kanan  Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

menteri belia dan sukan
Hannah Yeoh bersama perenang muda yang memenangi pelbagai pingat di pelbagai peringkat kejohanan.

3.Lawatan kerja dimulakan dengan perjumpaan dengan sekumpulan  perenang muda yang sebahagiannya mewakili negeri Pahang dalam  pertandingan peringkat kebangsaan. YB Menteri telah diberikan taklimat  mengenai kekurangan kemudahan renang di Cameron Highlands yang  menyebabkan atlet yang bercita-cita tinggi ini terpaksa menjalani latihan  di kolam renang di The Strawberry Hotel yang disediakan secara  percuma oleh pihak pengurusan hotel. Di sebalik cabaran ini, atlet  renang telah mencapai kejayaan yang luar biasa dengan memenangi pelbagai pingat di pelbagai peringkat kejohanan.

4.“Sungguh menggembirakan melihat dedikasi dan ketabahan perenang  muda ini,” kata Hannah Yeoh. “Pencapaian mereka dalam menghadapi  sumber yang terhad adalah bukti keazaman mereka dan sokongan  masyarakat yang kuat.”

5.YB Hannah Yeoh memuji The Strawberry Hotel atas sokongan mereka  dan menekankan usaha mereka sebagai contoh perkongsian awam swasta dalam pembangunan sukan. YB Menteri dalam lawatan kerjanya  turut membincangkan keperluan kolam renang yang sesuai untuk latihan  bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands. YB Menteri menyatakan  komitmennya untuk bekerjasama dengan wakil tempatan bagi mencapai  matlamat ini khususnya dalam mengenal pasti tanah untuk tujuan ini.

menteri belia dan sukan
Hannah Yeoh bersama belia Orang Asli Cameron Highland.

6.Dalam usaha menggalakkan pembangunan sukan luar bandar, KBS  turut menganjurkan beberapa siri acara sukan untuk masyarakat  setempat antaranya Sepak Takraw, Futsal dan Silambam. Ini termasuk  aktiviti khas untuk warga emas bagi menggalakkan gaya hidup aktif  untuk semua peringkat umur.

7.Semasa lawatan kerja itu, beliau telah meninjau cadangan kerja naik  taraf untuk mengubah padang menjadi kemudahan trek dan padang.  Lokasi ini berfungsi sebagai tempat utama untuk aktiviti sukan tempatan,  acara sekolah dan aktiviti rekreasi yang lain. Peningkatan ini diharapkan  dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk atlet, sekolah  tempatan dan komuniti yang lebih luas.

8.Di samping itu, YB Hannah Yeoh turut melawat gim komuniti tempatan  yang diuruskan oleh Majlis Belia Daerah Cameron Highlands yang mana  beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menaik  taraf peralatan gim itu.

menteri belia dan sukan
Hannah Yeoh bersama warga emas membuat senaman ringan untuk memastikan warga emas kekal aktif dalam bersukan.

9.YB Menteri turut beramah mesra dengan anak-anak dan belia orang asli  yang ramai menyatakan semangat mereka terhadap sukan futsal dan  sepak takraw yang popular dalam kalangan masyarakat. Beliau juga  bertemu dengan pemain bola keranjang tempatan yang kebanyakannya  menghabiskan waktu selepas kerja bermain bola keranjang dan  menganjurkan kejohanan tempatan untuk komuniti. Input yang diperoleh  akan membimbing KBS merancang program sukan dan pembangunan  yang disasarkan bagi memastikan ia sejajar dengan minat dan keperluan  masyarakat setempat.

10.Lawatan itu diakhiri dengan klinik bola sepak untuk 160 kanak-kanak dari  komuniti tempatan dan orang asli dengan setiap kanak-kanak menerima  bola sepak percuma untuk menggalakkan latihan berterusan dan  pembangunan kemahiran.

Nurul Naqiyah