Siakap Keli
laluan monorel beroperasi
Kredit: Bernama

Perkhidmatan Laluan Monorel Kembali Beroperasi Sepenuhnya Bermula 5 Petang Tadi

Perkhidmatan Laluan Monorel Kembali Beroperasi Sepenuhnya Bermula 5 Petang Tadi

Rangkaian pengangkutan awam, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa perkhidmatan Laluan Monorel bakal beroperasi secara sepenuhnya bermula jam 5 petang ini.

Pihak terbabit telah membuat pengumuman berkenaan perkara tersebut menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook Rapid KL pada Rabu.

Dalam kenyataan tersebut, Rapid Rail memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan baikpulih telah berakhir pada pagi tadi.

“Kerja-kerja pembersihan dan baikpulih yang dijalankan oleh pihak Rapid Rail dan pihak berkuasa tempatan telah berjaya diselesaikan pada jam 5.55 pagi tadi,” jelas Rapid Rail.

Selain itu, pihak berkenaan turut menjelaskan bahawa pemeriksaan telah dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan kenderaan awam itu selamat untuk dinaiki.

“Pihak operasi dan jurutera struktur juga telah selesai menjalankan beberapa pemeriksaan menyeluruh dan terperinci mengikut piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.

“Ini untuk memastikan struktur landasan stabil dan selamat untuk beroperasi,” jelas Rapid Rail menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara bagi memenuhi permintaan penumpang di kawasan tersebut turut ditamatkan.

“Serentak dengan pengoperasian penuh semula Laluan Monorel, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara akan ditamatkan.

“Kekerapan tren kembali normal di mana waktu puncak adalah setiap 7 minit, dan waktu luar puncak setiap 10 minit.” tambah Rapid Rail.

Dalam pada itu, pihak penyedia kemudahan pengangkutan awam itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas komitmen yang diberikan.

“Rapid Rail ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan perkhidmatan Laluan Monorel kembali normal.

“Pihak kami juga ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan kesabaran semua pengguna perkhidmatan Laluan Monorel,” ujarnya.

Seorang maut dalam insiden pokok tumbang di Stesen Monorel Bukit Nanas

Semalam, empat stesen monorel ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan dan baik pulih susulan insiden pokok tumbang berhampiran Stesen Monorel Bukit Nanas petang tadi.

Stesen yang terlibat adalah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Monorel Raja Chulan, Stesen Monorel Bukit Bintang dan Stesen Monorel Imbi.

Insiden pada kira-kira 2 petang itu menyaksikan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail.

BACA: Mangsa Pokok Tumbang Sempat Diajar Mengucap – Saksi

Sumber: Rapid KL via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma