Siakap Keli
serangan pemain fam
Gambar: Sinar Harian

Polis Siasat Kaitan Serangan Pemain Bola Berkait Isu FAM

Polis Siasat Kaitan Serangan Pemain Bola Berkait Isu FAM

KUALA LUMPUR —  Polis kini sedang menyiasat kes serangan melibatkan tiga pemain bola sepak negara, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Syafiq Rahim sama ada ia berkait dengan tuduhan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bulan lalu, lapor Sinar Harian.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kes itu kini dalam penelitian pihaknya.

“Kita lihat keseluruhan adakah tohmahan kepada FAM sebulan lalu yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah nyatakan bahawa tohmahan tidak berasas.

“Adakah disebabkan kenyataan itu membawa kepada tindakan sebegini? Ketidakpuasan hati kepada FAM diluahkan kepada pemain kebangsaan? Kita libatkan semua sudut dan aspek siasatan,” jelasnya.

BACA: Safiq Rahim Pula Diserang, Cermin Kereta Dipecahkan Dua Lelaki 

Beliau berkata demikian sewaktu sidang akhbar di Bukit Aman pada hari ini.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman diamanahkan untuk menyiasat tiga kes serangan pemain bola sepak berkenaan.

Ujar Shuhaily lagi, apa yang dilihat dimensi serangan telah rentas kontinjen dan menyelaraskan siasatan oleh Bukit Aman.

“Bagi kes kedua (Faisal), kita sedang tunggu beberapa laporan khususnya laporan kimia berkaitan asid yang digunakan suspek.

“Saya juga menunggu laporan daripada pegawai saya bagaimana daripada kecederaan tahap dua merebak ke tahap empat,” katanya.

Bagaimanapun, siasatan berhubung motif kejadian masih belum dikenalpasti.

Bagi kes pertama, serangan mengakibatkan kerugian, kes kedua melibatkan kecederaan, manakala kes ketiga akibatkan kerugian kerana kerosakan kenderaan.

“Sebab itu kes dibawa ke Bukit Aman,” maklumnya lagi.

Susulan itu, seramai 15 orang telah dirakam keterangan bagi ketiga-tiga kes itu setakat ini.

“Untuk kes kedua, seramai 10 orang telah direkod keterangan termasuk ahli keluarga dan saksi berhampiran,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Shuhaily berkata, Pengurusan Selangor FC telah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan. Sehubungan itu, siasatan kini sedang dilakukan oleh USJT JSJ Bukit Aman.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Tahap Empat Babitkan Keseluruhan Kulit, Otot Dan Tulang, Ini Gambaran Lecur Mengikut Tahap

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?