Siakap Keli
olimpik paris 2024 indonesia
Gambar: AFP

Kempunan “Tiket” Olimpik Paris 2024, Indonesia B23 Tewas 0-1 Kepada Guinea

Kempunan “Tiket” Olimpik Paris 2024, Indonesia B23 Tewas 0-1 Kepada Guinea

Skuad Indonesia Bawah 23 Tahun(B23) gagal menempah tiket ke Olimpik Paris 2024 selepas tewas 0-1 ditangan Guinea B23 dalam perlawanan playoff sebentar tadi.

Bermain di Stadium Stade Pierre-Pibarot, Shin Tae Yong menurunkan kesebelasan terbaik skuad Indonesia menentang Guinea  dengan beberapa perubahan dilakukan dalam misi melayakkan diri untuk slot Olimpik Paris 2024.

Pada awal babak pertama, permainan agak terbuka di mana kedua-dua pasukan bermain secara “playsafe” dengan beberapa percubaan ke arah gawang gol.

Pada minit ke-18 skuad Garuda mendapat peluang mencetak gol namun sepakan kaki kanan Prima Arhan terlalu lemah dan penjaga gol lawan Soumaila Sylla mudah menangkap bola.

Selang beberapa minit, kepala penyerang Indonesia Witan Sulaeman terpaksa dibalut selepas mengalami cedera sewaktu perebutan bola di udara.

Bagaimanapun, kesilapan Witan mengasari pemain Algassima Bah di dalam kotak penalti membawa padah apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Francois Letexier.

Ilaix Moriba tenang menyudahkan sepakan tersebut menewaskan penjaga gol Ernando Ari untuk meletakkan Guinea di depan dengan 1-0.

Sementara itu, Tae Yong dilayangkan kad kuning selepas memprotes keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Guinea.

Indonesia kemudian meningkatkan serangan di bahagian kiri untuk mencari gol penyamaan namun buntu sehingga tamat babak pertama.

BACA: Kenapa Minyak Hitam Tak Boleh Kerap Tukar Jenama & Dicampur? Ini Penjelasan Pakar

Masuk sahaja babak kedua, pemain pertahanan Indonesia, Komang Teguh mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-51, digantikan dengan Alfeandra Dewangga.

Pada minit ke-74 Tae Yong terpaksa meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah kerana sekali lagi memprotes keputusan pengadil.

Guinea mempunyai peluang menambah gol kedua perlawanan apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti, namun gagal disempurnakan selepas Ernando berjaya menepis sepakan tersebut.

Sehingga ke penghujung perlawanan, anak-anak buah Kaba Diawara berjaya menyerap dengan baik tekanan yang diberikan oleh Garuda Muda itu.

Gol tunggal Moriba sudah cukup mengesahkan kemenangan pasukannya sekaligus membawa Guinea untuk layak secara merit ke Olimpik Paris 2024.

Kemenangan itu menyaksikan Guinea melengkapkan 16 pasukan yang bakal berentap dalam temasya itu, dengan Guinea diletakkan dalam Kumpulan A bersama tiga lagi pasukan, Amerika Syarikat, New Zealand dan tuan rumah Perancis.

Sumber: CNN Indonesia

BACA JUGA: Piala Sumbangsih: JDT Harap Selangor FC Pertimbang Semula Isu Tidak Hadir

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?