Siakap Keli
penjual martabak duit syiling
Gambar: DetikJatim

Menabung Sejak 2020, Penjual Martabak Bayar “Down Payment” Rumah Guna Duit Syiling

Menabung Sejak 2020, Penjual Martabak Bayar “Down Payment” Rumah Guna Duit Syiling

Usaha tidak pernah mengkhianati hasil, walaupun mengambil masa yang lama untuk mendapatkan apa yang diinginkan namun ia sememangnya berbaloi.

Itulah yang dialami oleh seorang penjual martabak di Indonesia yang menjadi tular selepas dia berjaya membeli rumah menggunakan duit syiling yang disimpannya sejak tahun 2020.

Menurut DetikJatim, penjual yang dikenali sebagai Imam Subhi, 41, itu gigih menyimpan duit syiling demi mencapai impian untuk membeli rumah.

Gambar: DetikJatim

Imam yang tinggal di Desa Tukangkayu, Banyuwangi berkata dia mula menyimpan duit syiling selepas melihat gelen-gelen air mineral pakai buang yang terbiar di rumahnya. Sejak itu, dia mula menggunakan gelen tersebut sebagai tabung untuk menyimpan duit syiling.

BACA: (Video) Wanita Usung Duit Syiling Lebih RM4 Ribu Dalam ‘Botol Gelen’ Ke Kedai Untuk Beli Motosikal

Jelasnya, setiap kali dia mendapat syiling hasil jualan martabak, dia akan memasukkan ke dalam gelen itu. Malah, dia juga mendapat beberapa syiling hasil pertukaran wang di beberapa masjid di Banyuwangi.

“Saya tukar dengan takmir masjid, hasilnya saya khususkan seribu untuk simpanan saya. Kalau lima ratus, saya guna ia sebagai baki (untuk pelanggannya),” katanya.

Selepas berhempas pulas selama bertahun-tahun, Imam akhirnya berjaya menuai hasilnya pada 29 April lalu. Difahamkan, syiling yang disimpannya di dalam empat gelen adalah bernilai IDR 45,980,000 (RM13,577).

Dia telah menggunakan duit tersebut untuk membayar muka (down payment) sebuah unit rumah di kompleks perumahan di bandar Banyuwangi.

Gambar: DetikJatim

“Niat awal saya menabung adalah untuk membeli kereta. Tetapi saya fikir ia (kereta) tidak sesuai untuk pelaburan masa depan. Saya juga memerlukan rumah untuk didiami oleh pekerja saya.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk membeli rumah,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Tambahnya lagi, selepas membuat bayaran muka, rumah itu kini dalam peringkat pembinaan.

Sementara itu, menerusi video yang dimuat naik Detik.com di laman X, para pekerja bank dilihat sedang gigih mengira duit syiling itu.

Sumber: detikJatim

Sofea

There's always another side to every story