Kejadian ribut geomagnetik ekstrem pertama sejak 2003 dilapor sedang melanda Bumi, lapor sebuah agensi Amerika Syarikat, pada Jumaat.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) berkata, ribut ekstrem tahap G5 itu tiba di Bumi kira-kira 6.45 petang (EDT).
“Ribut geomagnetik berkemungkinan berterusan sepanjang hujung minggu memandangkan Coronal Mass Ejection (CME) yang terarah ke Bumi kini berada dalam keadaan transit,” kata agensi itu di X.
Menerusi laman web NOAA, ribut solar yang melanda Bumi itu boleh memberi kesan kepada operasi beberapa infrastruktur termasuk talian komunikasi, sama ada di angkasa lepas atau pun di Bumi.
“Talian komunikasi HF/VHF/UHF, GPS, grid kuasa, kapal angkasa, navigasi satelit dan teknologi-teknologi lain mungkin terjejas.
“Pengendali infrastruktur kritikal sudah pun dimaklumkan dengan perkara ini,” kata NOAA.
Pada masa yang sama, ribut solar ini juga berpotensi mencetuskan fenomena aurora yang boleh dilihat menjangkau sehingga ke kawasan selatan di Alabama dan Northen California, lapor NOAA lagi.
Terdahulu, ribut solar ekstrem G5 kali terakhir melanda Bumi pada 2003. Kejadian itu menyebabkan berlakunya gangguan bekalan kuasa di Sweden dan merosakan infrastruktur transformer di Afrika Selatan.
Sumber: AFP, NOAA