Beli Pakai Duit Sendiri, Budak Alami Kemurungan Selepas Telefon Dijual Ibu
Seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun di Cirebon, Jawa Barat dilapor mengalami masalah kemurungan selepas telefon bimbit yang dibelinya telah dijual oleh ibu sendiri.
Menurut portal Berita Satu, kemurungan teruk yang dialami kanak-kanak tersebut berlarutan selama 10 bulan sehingga menjejaskan persekolahannya.
Ibu kanak-kanak mendakwa, dia terpaksa menjual telefon bimbit berkenaan kerana desakan hidup bagi menampung keperluan mereka.
“Telefon bimbit tersebut dibeli menggunakan duit simpanan dia (anaknya) sendiri. Saya meminta izin terlebih dahulu sebelum menjual telefon bimbit tersebut dan dia memberi izin.
Budak alami kemurungan selepas ibu jual telefon bimbitnya
“Saya juga memberitahu akan memulangkan semula telefon bimbitnya apabila sudah mempunyai wang nanti,” kata ibunya.
Bagaimanapun, sikap kanak-kanak itu mula berubah selepas peranti tersebut dijual. Dia sering mengelamun memandangkan telefon bimbit berkenaan sering digunakan untuk bermain permainan mudah alih.
Malah, ketika pandemik melanda dunia termasuk Indonesia, peranti berkenaan turut digunakan sebagai alat bantuan untuk belajar dari rumah.
Kemurungan yang dialaminya lama-kelamaan telah mengganggu persekolahan kanak-kanak tersebut sehingga dia akhirnya mahu berhenti.
“Dia pernah mengamuk di sekolah, memukul meja dan menyebabkan kawan-kawan yang lain menjadi takut,” tambah si ibu lagi.
Wanita itu juga berharap kemurungan yang dialami anaknya dapat disembuhkan agar dia dapat kembali meneruskan persekolahannya di masa hadapan.
Pelajar pintar dan baik di sekolahnya
Sementara itu, Ketua Bahagian Sekolah Rendah dan Menengah Perkhidmatan Pendidikan Kota Cirebon, Ade Cahyaningsih berkata kanak-kanak itu merupakan pelajar yang rajin dan baik.
Tambah Ade, kemurungan yang dialami kanak-kanak tersebut mungkin berpunca kerana dia tidak dapat meluahkan rasa sedihnya sehingga menjadi lebih teruk.
“Kita juga tidak boleh menyalahkan dirinya kerana mungkin kesedihan kanak-kanak ini tidak boleh diluahkan. Dia juga seorang yang pendiam,” katanya lagi.
Menurut Berita Satu, Jabatan Pendidikan Bandar Cirebon sedang memberi tumpuan bagi merawat kesihatan kanak-kanak terbabit agar dia dapat kembali ceria seperti kanak-kanak yang lain.
BACA: Wanita Meninggal Dunia, Alami Jangkitan Selepas Cabut Gigi Geraham
Sumber: Berita Satu