Siakap Keli
presiden iran meninggal dunia
Sumber: ...

Helikopter Terhempas: Presiden Iran & Semua Penumpang Ditemui Meninggal Dunia

Helikopter Terhempas: Presiden Iran & Semua Penumpang Ditemui Meninggal Dunia

Presiden Iran Ebrahim Raisi dilaporkan meninggal dunia selepas helikopter yang dinaikinya terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Menurut laporan dari agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Reuters melaporkan bahawa seorang pegawai kerajaan Iran menyatakan helikopter yang hilang itu telah ditemui dalam keadaan terbakar sepenuhnya, lapor Astro Awani.

Ketua Bulan Sabit Merah Iran berkata, helikopter yang membawa Presiden Raisi telah ditemui, tetapi keadaannya tidak baik.

“Helikopter itu telah ditemui. Sekarang, kami bergerak ke arah helikopter,” kata ketua Bulan Sabit Merah, Pirhossein Koolivand, sambil menambah ‘keadaan tidak baik’.

Laporan awal dari pasukan penyelamat menunjukkan bahawa semua penumpang, termasuk Raisi dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian, telah terkorban dalam nahas tersebut.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran sebelum ini telah mengesahkan ketibaan mereka di lokasi kejadian selepas dron milik Turki mengesan satu kawasan di Wilayah Azerbaijan Timur yang mengeluarkan haba.

Walau bagaimanapun, 73 pasukan termasuk unit anjing pengesan yang dikerahkan ke kawasan tersebut berhadapan dengan cuaca buruk, termasuk hujan dan kabus tebal.

Terdahulu, helikopter yang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran tersebut dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Kejadian berlaku pada Ahad di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi sedang dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

Penduduk tempatan dilaporkan mendengar bunyi kuat di wilayah tersebut tidak lama selepas kejadian.

BACA: Pasukan Penyelamat “Berlumba” Dengan Masa Untuk Mencari Helikopter Presiden Iran

Sumber: Astro Awani

Sharifah Hannah Adibah