Siakap Keli
17 Hafiz al-quran 12A spm
Gambar: Sinar Harian

17 Hafiz Al-Quran SM Imtiaz Kuala Terengganu Raih 12A SPM

17 Hafiz Al-Quran SM Imtiaz Kuala Terengganu Raih 12A SPM

KUALA TERENGGANU — Kira-kira 17 hafiz al-Quran dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu memperoleh keputusan 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

Daripada 85 calon yang menduduki peperiksaan di sekolah itu tahun lalu, kira-kira 11 pelajar mendapat 11A, 15 lepasan meraih (10A) dan 17 lagi mendapat 9A.

Amir Hariz Amir Mohd Hafiz, 18, yang merupakan salah seorang calon cemerlang berkata usaha dan pengorbanan dalam mengulang kaji pelajaran termasuk mengajar rakan diterjemahkan dalam keputusan 12A.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata dia sama sekali tidak terfikir akan mendapat keputusan cemerlang seperti itu kerana dalam peperiksaan percubaan SPM tahun lalu, dia hanya meraih keputusan 5A dan 7A.

Gambar: Sinar Harian

“Usaha dengan bimbingan guru-guru yang sentiasa mengadakan kelas tambahan setiap hari termasuk hari cuti pada hujung minggu akhirnya membuahkan hasil.

“Untuk mengecapi kejayaan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kami pernah tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya sewaktu ditemui di pekarangan Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam.

BACA: Pesawat Terbang Rendah, TUDM Laksana Latihan Bermula Hari Ini Hingga 2 Jun

Dia turut menjelaskan pendorong utama kejayaannya bersama rakan-rakan seperjuangan adalah berkat amalan membaca al-Quran pada setiap hari.

“Kami amat berterima kasih dan bersyukur kerana ibu bapa juga berusaha memastikan kejayaan anak-anak dengan mengadakan bacaan Yassin bersama-sama pada setiap pagi melalui Google Meet demi mendoakan kejayaan kami dalam SPM kali ini,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz Nik Mohd Anuar, 18, yang juga meraih 12A dalam SPM juga memaklumkan kejayaan ini tidak akan dikecapi tanpa usaha gigih guru yang membantu dan mendorong pelajar untuk berjaya.

“Rutin harian kami sangat padat bermula pukul 5 pagi untuk menghafaz al-Quran diikuti kelas akademik, kelas tambahan dan aktiviti keagamaan di surau hingga 11 atau 12 tengah malam.

“Kami bersyukur sebab penat lelah pelajar, guru-guru dan ibu bapa berbaloi hari ini dengan kejayaan yang dikecapi selaras matlamat sekolah mahu melahirkan tenaga kerja profesional yang hafiz al Quran,” ujarnya.

Keputusan SPM 2023 di Terengganu merekodkan 464 atau 2.83 peratus daripada 16,382 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Seramai lapan calon daripada enam buah sekolah termasuk seorang calon dari sebuah sekolah menengah harian berjaya mendapat gred A dalam semua mata pelajaran di duduki.

Sumber: Sinar Harian 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?