Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MRSM Ulul Albab Lahirkan Lebih 4,800 Hafiz Al-Quran, Ceburi Bidang Profesional

ALBAB
Kredit: Majlis Amanah Rakyat (MARA)

PARIT, 21 Sept (Bernama) -- Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab melahirkan lebih 4,800 hafiz al-Quran setakat ini dan telah menceburi pelbagai bidang profesional di dalam dan luar negara, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata program MRSM Ulu Albab berada pada landasan tepat dalam melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, iaitu sekurang-kurangnya 400 pelajar menghafaz 30 juzuk al-Quran setiap tahun.

“Tahun ini sahaja kita telah mencapai KPI apabila sebanyak 438 pelajar berjaya khatam menghafaz 30 juzuk al-Quran. Ini menjadikan keseluruhan lebih 4,800 pelajar keluaran MRSM Ulul Albab bergelar hafiz dan telah berkhidmat dalam pelbagai lapangan profesional,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Debat MRSM Piala Timbalan Perdana Menteri 2026, di MRSM Parit di sini,

Katanya pelaksanaan program Ulul Albab Tamhidi atau 'mini Ulul Albab' yang dilancarkan bermula awal tahun lepas kini diperluas ke semua 50 MRSM di seluruh negara di samping lapan MRSM Ulu Albab.

Asyraf Wajdi berkata langkah itu membolehkan pelajar di MRSM selain MRSM Ulul Albab menguasai sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran menjelang tamat tingkatan lima, sekali gus memudah serta memenuhi syarat kelayakan bagi mereka yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar.

Pada majlis itu, MRSM Kuantan dinobatkan johan bagi debat kategori bahasa Melayu menewaskan MRSM Pengkalan Hulu.

Bertindak sebagai pihak pembangkang yang mendebatkan usul mengembalikan hukuman mati mandatori, pasukan MRSM Kuantan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala pusingan.

MRSM Gemencheh pula muncul johan bagi kategori bahasa Arab selepas menewaskan MRSM Tun Ahmad Abdullah Badawi manakala bagi kategori bahasa Inggeris pasukan dari MRSM Langkawi muncul johan menewaskan pasukan MRSM Tun Ghafar Baba.

Bagi edisi kali ini yang berlangsung dari 18 Sept hingga hari ini, pertandingan itu menghimpunkan 528 pendebat dari 58 MRSM seluruh negara dan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM53,000.

Pertandingan yang diperkenalkan pada 2009 dan dijenamakan sebagai Debat MRSM Piala Timbalan Perdana Menteri pada 2023 memberi peluang kepada pelajar seawal tingkatan satu untuk berinteraksi dan bersaing bersama-sama pendebat senior tingkatan lima dalam suasana perdebatan yang sihat.

-- BERNAMA

Intipati
  • MRSM Ulul Albab melahirkan lebih 4,800 hafiz al-Quran dalam pelbagai bidang profesional.
  • Seramai 438 pelajar berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran tahun ini, melepasi KPI tahunan.
  • Program Ulul Albab Tamhidi kini diperluas ke semua 50 MRSM di seluruh negara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan