Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan keinginan mewujudkan pendidikan di semua institusi awam, bermula dari sekolah rendah hingga universiti diberikan secara percuma bagi memastikan kos pengajian tidak membebankan rakyat, lapor Detik.com.
Jelas Prabowo, beliau akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kos pendidikan awam berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan ulang tahun ke-28 Parti Amanat Nasional (PAN) di JCC, Jakarta pada Jumaat.
Pendidikan Percuma Hingga Universiti - Prabowo
Tambahnya, sepanjang dua tahun lalu kerajaan terus bekerja keras bagi menangani pelbagai masalah yang dihadapi rakyat pada awalnya.
“Banyak kejayaan yang kita capai kerana kita terus bekerja, kita terus bekerja sepanjang dua tahun ini.
“Akhirnya kita dituduh kurang berkomunikasi. Kurang berkomunikasi kerana kita terus bekerja, kita mengejar masa kerana rakyat tidak boleh menunggu lagi,” kata Prabowo
Beliau kemudian memberikan beberapa contoh masalah yang perlu ditangani segera, termasuk pembinaan jambatan di kampung serta kerja-kerja membaik pulih sekolah.
“Kanak-kanak tidak boleh menunggu, jambatan di kampung-kampung perlu dibina. Sekolah-sekolah perlu segera dibaiki, ada bumbung yang runtuh. Ada sekolah yang tidak mempunyai tandas yang baik, semua itu perlu kita baiki,” katanya.
“Gaji guru perlu ditambah baik, gaji hakim juga perlu ditambah baik. Kerana kita mahu membanteras rasuah, kita tidak mahu hakim-hakim kita disogok, kita tidak mahu hakim-hakim kita dibeli. Jururawat kita perlu dijaga, doktor-doktor kita juga perlu diberi perhatian,” tambahnya.
Prabowo kemudian mengumumkan rancangan untuk mengadakan mesyuarat terhad bagi membincangkan pendidikan percuma di sekolah dan universiti awam. Beliau menegaskan bahawa kos pendidikan awam perlu diberikan secara percuma.
“Saya sangat bersetuju. Saya akan segera mengadakan mesyuarat terhad atau apa sahaja caranya, yang penting kos pendidikan awam mesti percuma. Kos pendidikan kerajaan bagi sekolah rendah, sekolah menengah pertama, sekolah menengah atas dan universiti awam mesti percuma,” katanya.
Prabowo turut menyentuh mengenai sumber peruntukan bagi merealisasikan pendidikan percuma tersebut. Menurutnya, wang yang diseleweng atau dikorupsi perlu dikembalikan dan digunakan untuk kepentingan rakyat.
“Nanti, nanti akan ada yang bertanya, ‘Dari mana wangnya?’ Wangnya ialah wang yang dikorupsi, diseleweng dan dicuri,” katanya.
