Siakap Keli

Agensi Nuklear Malaysia Meningkatkan Keupayaan Professional Dalam Bidang Teknologi Nuklear Di Rantau Asia Pasifik

Agensi Nuklear Malaysia Meningkatkan Keupayaan Professional Dalam Bidang Teknologi Nuklear Di Rantau Asia Pasifik

BANGI, 24 Mei 2024 – Memahami kepentingan teknologi nuklear dalam perkembangan sektor sosioekonomi negara, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), telah menghimpun profesional, penyelidik dan penggubal dasar dari rantau Asia Pasifik untuk meningkatkan keupayaan mengenai penggunaan sumber sinaran yang selamat terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Inisiatif yang dilaksanakan melalui kursus antarabangsa Pendidikan Pasca Siswazah Ke-18 Mengenai Perlindungan Sinaran & Keselamatan Sumber Sinaran (18th Post Graduate Educational Course on Radiation Protection & Safety of Radiation Sources) ini merupakan anjuran bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Kerajaan Malaysia melalui Agensi Nuklear Malaysia.

Seramai 25 peserta dari 17 negara telah menyertai kursus peningkatan keupayaan ini. Melalui kursus ini, para peserta dapat memahami dan memperkukuhkan perlaksanaan piawaian keselamatan antarabangsa melalui pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan sinaran.

agensi nuklear malaysia

Perlindungan sinaran adalah aspek penting dalam pelbagai industri, termasuk perubatan, tenaga, dan penyelidikan di mana penggunaan bahan radioaktif dan sumber sinaran memerlukan pengawalan ketat untuk mengelakkan risiko kepada kesihatan manusia dan kerosakan alam sekitar.

Bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama, Malaysia telah menandatangani Practical Arrangement (PA) pada 27 September 2022 di Vienna, Austria bersama IAEA dalam bidang pendidikan dan latihan bagi bidang radiasi, pengangkutan dan keselamatan sisa radioaktif.

Lanjutan daripada perjanjian ini, Nuklear Malaysia telah berperanan sebagai pusat latihan serantau bagi rantau Asia Pasifik. Pusat latihan in bertanggungjawab dalam penganjuran kursus, pembangunan makmal dan bahan latihan serta membangunkan kepakaran dalam bidang keselamatan sinaran.

Nuklear Malaysia amat mengalu-alukan jaringan kerjasama strategik bersama-sama negara-negara anggota IAEA bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di rantau Asia Pasifik. Majlis perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Majlis ini turut dihadiri oleh wakil-wakil kedutaan negara peserta yang terlibat dalam program ini.

Nurul Naqiyah