“Bancuh Kopi Boleh, Cuci Pinggan Boleh,” Lelaki Mirip Keanu Reeves Curi Perhatian Warga Maya
Siapa sahaja yang tidak mengenali pelakon terkenal Amerika Syarikat, Keanu Reeves?
Namanya meletop selepas memegang watak utama dalam filem John Wick yang diterbitkan pada 2014, di mana menceritakan tentang seorang pembunuh profesional yang kembali ke dunia penjenayah selepas bersara.
Bagaimanapun, baru-baru ini, seorang lelaki mirip wajah pelakon antarabangsa itu mencuri perhatian orang ramai hingga tular di platform media sosial TikTok.
Dalam beberapa klip video yang dimuat naik di platform berkenaan, ia memaparkan lelaki tersebut menjalani kehidupan seperti kebanyakan orang lain di Thailand termasuk memakai pakaian tradisional tempatan.
Salah satu video mendedahkan pelanduk dua serupa itu bukan sahaja boleh membancuh kopi ala-ala barista di pasar tempatan, malah dia juga menjual sotong bakar dan mencuci pinggan mangkuk.

Sementara itu, dalam laporan Khaosod Online memaklumkan lelaki berwajah seperti John Wick itu dikenali sebagai Andreas Kalias.
Dia yang berbangsa Jerman difahamkan telah berkahwin dengan seorang wanita Thailand, Kanchalee Phromma, 49, yang merupakan pemilik akaun tiktok berkenaan.
Pasangan itu difahamkan tinggal di Daerah Pak Chong wilayah Nakhon Ratchasima.
Menurut isterinya, dia mula mengenali dan bertemu dengan suaminya menerusi satu aplikasi temu janji yang membawa kepada perkahwinan pada empat tahun lalu.

BACA: Ramai Cadang Guna Sistem Penyembur Air Di Malaysia, Ini Jawapan Dr Aid Fawzal
Ditanya mengenai kehidupan dengan wajah pelakon Amerika itu, Andreas berkata dia suka apabila orang datang kepadanya dan memberitahu dia seperti John Wick serta bergambar dengannya.
Dalam pada itu, video-video yang dimuat naik oleh isterinya mengenai Andreas di akaun Tiktok @tuktiklife telah mendapat jutaan tontonan daripada warganet.
@tuktiklife Everything got a price🐙 ปลาหมึกมั้ยคร้าบบบ #thailand #johnwick #fyp #ขึ้นฟีดเถอะ
@tuktiklife #thailand #nakhonnayok #handsome บาริสต้าค่ะ
Setiap klip yang dimuat mendapat pelbagai reaksi dan komen lucu daripada netizen mengenai lelaki berwajah John Wick itu. Berikut antara komen daripada netizen;
“Harap tiada yang curi motosikal dia. Hancur satu Thailand nanti,” komen salah seorang pengguna.
“John Wick Bab 5: Pekerja Sambilan,” seloroh pengguna lain.
“Tadi jual sotong, ni bancuh air, banyak kerja partime dia ni. Rajin betul,” komen seorang lagi pengguna yang terhibur.
“Makan tak bayar, cuci pinggan ler jawabnya,” seloroh seorang pengguna lagi.
Sumber: The Thaiger, Khaosod Online