CIMB Clicks Tak Lagi Tersedia Di Gedung Aplikasi Bermula 11 Jun
Aplikasi CIMB Clicks tidak lagi akan tersedia untuk dimuat turun di gedung aplikasi bermula 11 Jun depan dan akan digantikan dengan aplikasi CIMB OCTO.
Menerusi satu notis di laman web miliknya, CIMB berkata aplikasi CIMB OCTO akan hadir dengan wajah baharu yang lebih menarik dan direka untuk memudahkan urusan perbankan harian pengguna.
“Dengan aplikasi CIMB OCTO, pengguna akan menguruskan kewangan dengan cepat dan selamat, memberikan pengalaman perbankan yang bijak dan diperibadikan,” katanya.
Tambahnya lagi, pengguna disarankan untuk memuat turun aplikasi itu di Apple App Store, Google Play Store dan Galeri Aplikasi Huawei.
BACA: Semua Model Perodua & Toyota Di Malaysia Patuhi Piawaian Keselamatan – Anthony Loke
Dalam perkembangan lain, CIMB akan bekerjasama dengan JuiceUP dan Visa untuk memperkenalkan rumusan pembayaran tanpa sentuh pertama dalam pasaran yang direka untuk pengendali titik caj (CPO) dalam industri kenderaan elektrik (EV).
Menurut CIMB, jalinan kerjasama itu memudahkan pemilik EV untuk melakukan pembayaran ketika mengecas kenderaan mereka menggunakan kad debit atau kredit.
“Selaras dengan perubahan pilihan pengguna ke arah pembayaran yang lancar dan segera, CIMB berbesar hati untuk menawarkan penyelesaian pembayaran tanpa sentuh pertama dalam pasaran, yang direka untuk menyelaraskan urus niaga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna Kumpulan dan Perbankan Digital, Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian eksklusif itu, pemegang kad kredit dan debit CIMB kini boleh menikmati diskaun sehingga 15% bagi perkhidmatan pengecasan di stesen EVPower.
“Inisiatif ini bertujuan untuk menyokong peningkatan bilangan pengguna EV dengan menjadikan pengecasan lebih berpatutan dan boleh diakses melalui Rangkaian Pengecasan EVPower,” kata CIMB.
BACA JUGA: Minggu Epidemiologi Ke-20 Catat 2,461 Kes Demam Denggi, Dua Kematian
Sumber: CIMB