Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Juara Program Realiti Hiburan Mengaku Salah Miliki Dadah
SHAH ALAM, 30 Mei (Bernama) — Seorang penyanyi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah Ahad lepas.
Penyanyi berusia 42 tahun terbabit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Juara sebuah program realiti hiburan itu didakwa memiliki dadah dipercayai jenis heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan di Subang Jaya dekat sini pada 3.30 petang, 26 Mei lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Sallehuddin Salam yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan kerana tertuduh menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah selain pendapatan sebagai ahli muzik tidak menentu.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan laporan kimia.
Sumber:BERNAMA