Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PUTRAJAYA, 30 Mei 2024 – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Binti Sabu telah mengumumkan sebanyak 177 projek iaitu sebanyak 20,489 unit perumahan swasta telah berjaya dipulihkan dengan nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value – GDV) iaitu sebanyak RM14.89 bilion bagi tempoh 1 Januari 2024 sehingga 30 April 2024.
Jumlah projek yang berjaya ini merangkumi 163 projek yang telah berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC), 11 projek yang berstatus sakit kembali menjadi lancar dan tiga (3) projek terbengkalai telah berjaya dipulihkan.
Menurut YB Timbalan Menteri, “KPKT melalui TFST telah berjaya menyelesaikan sebuah projek perumahan swasta terbengkalai pada bulan Mac 2024 iaitu Projek Perumahan Taman Desa Barakah (Fasa 5), Tanah Merah, Kelantan yang dilaksanakan melalui kaedah penyelesaian pembeli”.
TFST Bilangan 3 Tahun 2024 yang telah diadakan pada 21 Mei 2024 baru-baru ini turut mengesahkan data-data terkini bagi projek sakit dan terbengkalai bagi pelaporan sehingga 30 April 2024. Statistik menunjukkan terdapat sebanyak 205 projek perumahan swasta lewat dan 438 projek perumahan swasta sakit manakala projek perumahan swasta terbengkalai masih kekal dengan 115 projek.

Kesemua projek ini membawa nilai pembangunan kasar (Gross Development Value – GDV) sebanyak RM189.67 bilion. Statistik projek perumahan swasta lewat dan sakit adalah dinamik, walau bagaimanapun ianya menunjukkan trend yang semakin menurun.
Lawatan tapak dan pemantauan secara rapi merupakan agenda tetap dan terus dipergiatkan oleh pasukan KPKT dalam usaha memperkukuhkan salah satu daripada empat (4) elemen utama TOR TFST iaitu melaksanakan pemantauan secara secara berterusan (Resolve). Bagi suku tahun pertama 2024, sejumlah lima (5) lawatan tapak projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai telah dilawati oleh YB Timbalan Menteri iaitu:
i.Dynaton Impiana Taman Bahagia, Temerloh, Pahang;
ii.Taman Rasa Utama, Kuala Kubu Bharu, Selangor;
iii.D’jewel Gardens, Gombak, Selangor;
iv.Taman Malim Putra, Tanjung Malim, Perak; dan
v.Pangsapuri Impian Meru, Klang
Hasil daripada lawatan tapak ini menunjukkan usaha dan intervensi Kerajaan MADANI dalam memastikan projek-projek yang bermasalah ini dapat kembali lancar dan disiapkan bagi mencapai matlamat untuk diserahkan kepada pembeli. Status projek ini akan dilaporkan secara berkala melalui mesyuarat TFST.
Libat urus bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi teknikal terus diadakan di tapak projek bagi mencapai kata sepakat dan penyelesaian terhadap isu-isu pembangunan projek yang berbangkit. TFST juga akan memastikan pemaju mengambil tindakan susulan bagi memenuhi syarat untuk penyiapan projek.
Selain itu, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu dalam lawatan tapak ke Projek Pangsapuri Impian Meru, Klang baru-baru ini memaklumkan KPKT telah memperuntukkan RM4.8 juta bagi memulihkan tiga (3) projek perumahan swasta terbengkalai di Negeri Selangor melalui Inisiatif Belanjawan 2023 melibatkan;
1) Pangsapuri Meru Klang;
2) Taman Meru Makmur Lot 2223 & 2224, Klang; dan
3) Taman Meru Makmur Lot 2225, Klang
Peruntukan inisiatif ini adalah merupakan obligasi sosial daripada Kerajaan MADANI kepada para pembeli yang terkesan dengan projek perumahan swasta terbengkalai. Peruntukan ini disalurkan bagi menyiapkan projek-projek perumahan swasta terbengkalai tersebut sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance – CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (Certificate of Fitness for Occupation – CFO).
YB Timbalan Menteri juga turut menyatakan hasrat untuk meneruskan agenda TFST iaitu memfokuskan kepada projek perumahan swasta terbengkalai tanpa lesen. Sehingga 30 April 2024, sebanyak 175 projek perumahan swasta terbengkalai tanpa lesen telah direkodkan di Semenanjung Malaysia.
KPKT sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan serta sentiasa komited untuk menangani masalah projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di seluruh negara bagi menjayakan agenda utama KPKT ini demi kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas.