Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

280 Projek Pembangunan Persekutuan Bernilai RM33.22 Bilion Diluluskan Untuk Pulau Pinang

PROJEK
Kredit: Bernama

Sebanyak 280 projek pembangunan Persekutuan dengan nilai keseluruhan RM33.22 bilion diluluskan di Pulau Pinang di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 44 projek baharu dan 236 projek sambungan diluluskan dengan peruntukan RM2.68 bilion bagi pelaksanaan projek berkenaan pada 2027.

Kredit: Facebook Ketua Menteri Pulau Pinang

Menurutnya, projek baharu yang diluluskan melibatkan kos keseluruhan RM578.29 juta, dengan peruntukan RM63.71 juta bagi tahun hadapan.

“Daripada jumlah projek baharu itu, empat merupakan projek keutamaan yang dikemukakan Kerajaan Pulau Pinang pada Februari lalu, membabitkan kos keseluruhan RM96.95 juta.

“Bagaimanapun, peruntukan bagi keempat-empat projek berkenaan pada 2027 berjumlah RM2.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, empat projek keutamaan itu merangkumi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kelang Ubi di Seberang Perai Tengah (SPT) serta projek menaik taraf Jalan Bukit Tambun FT149 dari persimpangan Jalan Persekutuan FT001 ke persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.

Menurutnya, dua lagi projek ialah RTB Sungai Perai Fasa Dua di SPT serta projek pemetaan dan pembangunan sumber air bawah tanah di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata, satu lagi projek keutamaan negeri, Penang STEM Talent Blueprint, diluluskan lebih awal di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13 dengan kos keseluruhan RM12.3 juta.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pertimbangan dan kelulusan projek pembangunan berkenaan.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Kon Yeow turut berkata, kerjasama itu merangkumi usaha merealisasikan penubuhan Penang Technology Financial Centre (PTFC) yang dirancang sebagai pusat kewangan teknologi negara.

Jelasnya, PTFC dijangka menyumbang RM12.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyokong lebih 71,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Intipati
  • Sebanyak 280 projek Persekutuan bernilai RM33.22 bilion diluluskan untuk Pulau Pinang.
  • Kelulusan merangkumi 44 projek baharu dan 236 projek sambungan bagi pelaksanaan pada 2027.
  • Empat projek keutamaan negeri melibatkan tebatan banjir, naik taraf jalan dan sumber air bawah tanah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan